07 September, 2008

Ramadan dan Kenangan

Setiap kali tibanya Ramadan, kita pastinya tidak dapat tidak akan diusik dengan kenangan. Tidak kira sama ada kenangan semasa mula belajar berpuasa, kenangan ponteng puasa, kenangan bertarawikh dan moreh di surau dan seribu satu kenangan lain yang kita bawa sepanjang jalan kehidupan. Aku juga tidak lepas mempunyai banyak kenangan apabila tiba bulan yang mulia ini. Salah satu kenangan yang terus segar dalam kotak fikiran ialah semasa aku berniaga di pasar ramadan.
Rasanya lebih 10 tahun dulu aku melalui kenangan ini, selepas mengambil SPM aku membantu rakan untuk berniaga di pasar ramadan. Kami berniaga Kue Teow Goreng (keu teow kerang paling top di Parit Buntar), Mee Kuah dan Bihun Sup. Rutin pekerjaan aku bermula lebih kurang pukul 10 pagi. Aku harus mengupas ubi untuk membuat kuah mi, menggoreng kacang, memotong cili kering, menggoreng fish ball, merebus telur, merebus ubi dan pelbagai kerja rutin lain sehinggalah menjengah ke tengah hari. Selepas kuah mee masak, kerja seterusnya lebih berat lagi. Harus memasukkan mee ke dalam bungkusan bersama perencahnya dan seterusnya memasukkan kuah pula ke dalam bungkusan. Itu baru bahagian mee, belum lagi untuk membuat bihun sup. Lazimnya kami 2-3 orang akan bersama-sama membantu untuk menyiapkan semua bungkusan mee dan bihun sup sebanyak lebih kurang 200 bungkus untuk dijual pada pasar ramadan. Selepas selesai semua kerja membungkus, kami harus pula menyediakan bahan-bahan lain seperti payung, meja, dapur dan sebagainya ke dalam kereta. Ketika mula-mula berniaga, kami hanya menggunakan basikal roda tiga untuk membawa barang-barang sebelum menggunakan kereta tahun berikutnya. Hanya selepas selesai semua itu barulah dapat berehat seketika, itu pun cukup untuk mandi dan bersiap untuk misi yang seterusnya....
Seawal pukul 4.oo petang biasanya kami akan ke tapak pasar ramadan. Bermulalah kerja memasang payung, membuka meja, menyusun barang-barang dan sebagainya sehingga boleh mula berniaga. Biasanya memang meletihkan. Andai kata cuaca panas, terik mentari cukup untuk membuat tekak haus. Ditambah lagi apabila melihat kesegaran air-air minuman yang dijual gerai berhampiran. Andai kata hari hujan pula, situasinya akan lebih sukar dan bayangkanlah dalam keadaan puasa harus membuka gerai di tengah-tengah hujan yang mencurah-curah....he..he...basah yop!
Waktu yang paling aku suka apabila mula berniaga.Melihat kepada sambutan orang yang membeli sehingga harus berdiri menunggu kue teow siap digoreng, dan pada masa yang sama mee kuah serta bihun sup yang kami buat mendapat sambutan membuatkan rasa letih dari pagi bekerja hilang. Dalam situasi inilah banyak ragam manusia dapat dilihat, ada yang tidak sabar, ada yang nak murah lagi (kue toew RM 1.00 sebungkus, nak minta 50 sen, boleh?) dan macam-macam karenah yang kekadang tu membuatkan pahala puasa aku berkurangan kerana menjadi modal aku dan rakan-rakan mentertawakan dan mengutuk...he...he..Andai kata musim hujan pula, situasi akan bertukar. Kami akan bersembang sesama sendiri untuk menghilangkan rasa bosan sementara menunggu pelanggan. Sambil-sambil tu akan berharap hujan akan cepat berhenti kerana kebiasaannya orang ramai akan keluar apabila hujan berhenti dan jumlahnya akan berkali-kali ganda.
Andai kata semua yang kami bawa habis cepat, maka kami akan segera mengemas barang untuk berbuka puasa di rumah. Andai kata sebaliknya, biasanya kami akan berbuka puasa di pasar ramadan bersama peniaga-peniaga yang lain. Yang bestnya apabila masing-masing bertukar-tukar barang perniagaan yang tidak habis untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Selepas itu barulah kami akan pulang menghantar barang ke kedai dan seterusnya barulah aku dapat pulang ke rumah. Kebiasaannya pada ketika itu, jarang sangat untuk aku dapat berbuka puasa bersama keluarga di rumah.
Pengalaman aku berniaga di pasar ramadan Parit Buntar bukan setahun dua, rasanya banyak tahun juga aku membuat kerja-kerja part time ini. Banyak pengalaman yang aku kutip dan banyak kenangan pahit manis yang aku lalui semasa berniaga. Terima kasih banyak-banyak kepada Allahyarham Mohd Shahini (Pak Ngah) yang banyak mengajar aku tentang ilmu berniaga dan memberi pengalaman berguna untuk dijadikan panduan. Tak lupa juga buat Mak Ngah (Sharifah Hasnah), Pak Su (Syed Halim), Kak Ju, Abang Zam, Ajan, Ayang, rakan-rakan setugas: allahyarham Najib, Abbe, Pick, Lan dan rakan-rakan lain yang turut sama mewarnai kenangan pada waktu itu. Ketika itu aku merasakan upah yang aku dapat agak tidak setimpal dengan kerja yang aku buat, namun ketika ini baru aku sedar pengalaman dan kenangan yang aku perolehi semasa melalui zaman itu lebih berharga daripada duit upah yang aku terima....

2 comments:

Anonymous said...

ok sama-sama..
on behalf of Pak Ngah's Crew..

rasydi said...

aku paling tak leh lupa, kita kena tunggu drama kami no propose habis baru boleh keluaq bisnes heheh