11 October, 2008

DATUK SHAH RUKH KHAN

TANPA PREJUDIS

Sekembali aku dari pasar pagi tadi, ketika mula membelek akhbar Utusan Malaysia aku terkedu seketika ketika membaca satu tajuk berita muka depan akhbar itu di mana Shah Rukh Khan dikurniakan anugerah Datuk. Setelah membaca dengan lebih tenang bermacam perasaan muncul. Nak tergelak pun ada, nak marah pun ada. Inilah satu-satunya anugerah Datuk yang paling tak relevan pernah dikurniakan oleh kerajaan sesebuah negeri kepada seorang manusia. Kebiasaanya anugerah Datuk diberikan kepada seseorang individu yang banyak berjasa dan menyumbang bakti kepada masyarakat sama ada dalam sesebuah negeri ataupun kepada negara tetapi kali ini Datuk Shah Rukh Khan dikurniakan gelaran Datuk atas sumbangannya dalam bidang seni peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia. Ha..ha...ha...memang lawak punya kerja. Aku kurang pasti siapakah empunya diri yang 'kurang cerdik' memberi cadangan agar pelakon yang kononnya hebat ini layak diberi anugerah sedemikian rupa.

Aku cuba ketuk-ketuk kepala aku sebentar, takut mungkin sedang bermimpi. Cuma gosokkan mata aku takut tersilap baca. Mungkin sebenarnya Nasir Bilal Khan yang dapat, bukan Datuk Shah Rukh Khan. Mungkin juga Rina Khan yang menerima anugerah ini...Tetapi yang nyata sebenarnya penerima anugerah ini adalah Datuk Shah Rukh Khan (tolong tepuk tangan....) Aku tak pasti apa sebenarnya sumbangan besar Datuk Shah Rukh Khan kepada negeri Melaka. Dalam kepala aku memikirkan kemungkinan Datuk Shah Rukh Khan ini keturunan Parameswara yang telah membuka Melaka lebih 500 tahun dahulu, ataupun mungkin juga nenek moyangnya dulu merupakan pedagang rempah dari India atau Gujerat yang pernah berdagang di Melaka. Kalau betul pun kemungkinan yang berligar dalam kepala otak aku, Datuk Shah Rukh Khan masih belum layak menerima anugerah sebegini. Beliau harus diuji secara DNA untuk membuktikan keturunan Parameswara ataupun perlu mempunyai bukti-bukti lengkap tentang salasilah nenek moyangnya yang mungkin pernah berdagang dan menabur bakti di bumi Melaka.

Dalam leka memikirkan semua ini, aku masih cuba menarik telinga sendiri kalau -kalau aku sebenarnya sedang bermimpi. Tetapi tidak...Aku terus bingung memikirkan apakah sumbangan yang pernah ditaburkan oleh Datuk Shah Rukh Khan kepada masyarakat di Malaysia? Yang aku tahu sebenarnya rakyat Malaysia yang tergila-gilakan pelakon ini yang banyak menyumbang kepada beliau dengan membeli tiket wayang untuk menonton filem Datuk Shah Rukh Khan, membeli CD, VCD dan DVD dan ada yang terlebih cerdik sanggup berhabisan ratusan ringgit hanya untuk melihat Datuk Shah Rukh Khan miming di atas pentas. Lebih parah Datuk Shah Rukh Khan tidak pernah menghormati adab dan tatasusila masyarakat Malaysia dengan segala karenah dan gelagat yang ditimbulkan semasa berada di sini. Jadi masihkah itu dianggap sumbangan?

Dalam perjalanan balik dari Parit Buntar ke Machang pagi tadi aku terus buntu memikirkan perkara ini sepanjang perjalanan. Kalau pun anugerah ini hendak diberikan kepada artis luar yang banyak menyumbang kepada industri hiburan negara masih banyak insan lain yang lebih berkelayakan dan banyak menyumbang dari Datuk Shah Rukh Khan. Anugerah Datuk ini boleh sahaja di beri kepada M. Nasir ataupun Ramli Sarip yang banyak menyumbang kepada perkembangan muzik di Malaysia. Kalau untuk pelakon pula aku rasa Mat Sentol atau Wahid Satay lebih banyak menyumbang kepada perkembangan filem di Malaysia dan rasanya mereka ini lebih layak berbanding Datuk Shah Rukh Khan. Dan kalau anugerah Datuk ini diberi kepada AR Badul pun aku masih boleh terima, sekurang-kurangnya Badul pernah mencipta nama sebagai pelakon dan pengarah komedi disegani di Malaysia dan terus aktif sehingga kini. TETAPI KENAPA DATUK SHAH RUKH KHAN????

Dalam kereta tadi aku masih cuba untuk tidak mempercayai berita ini, dengan harapan esok akhbar akan menyiarkan "Ralat : Berita tentang Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan merupakan kesilapan yang tidak disengajakan." Kalau aku hendak senaraikan nama insan lain yang lebih layak daripada Datuk Shah Rukh Khan memang rasanya tak muat laman blog ini. Sampai saat ini aku masih kurang mengerti mengapa Datuk Shah Rukh Khan yang wajar dikurniakan anugerah ini. Aku tak pasti apa perasaan Datuk-Datuk lain yang menerima anugerah yang sama dan sedarjat dengan Datuk Shah Rukh Khan ini. Cuma dalam fikiran aku kalau Datuk Shah Rukh Khan yang tidak ada apa-apa jasa kepada rakyat negara kita ini boleh dikurniakan gelaran Datuk maka sudahnya gelaran Datuk itu sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood bernilai RM 9.90 yang boleh didapati di Pasar Raya Maidin....


* Sekurang-kurangnya arwah Tok Wan aku lebih banyak jasanya kepada negara berbanding Datuk Shah Rukh Khan. Pernah ditembak komunis suatu ketika dahulu ketika memperjuangkan kemerdekaan negara. Al Fatihah...

No comments: