08 November, 2008

MENTARI MERAH DI UFUK TIMUR

Jangan terpengaruh dengan tajuk entri yang sengaja aku letak dan tidak ada kena mengena dengan apa yang nak aku tulis. Cuma agak buntu untuk meletakkan tajuk entri, lalu tajuk album Search menjadi pilihan aku. Sebenarnya kalau nak diikutkan sebelum catatan entri ini aku telah dua kali menulis entri sepanjang dua minggu yang lalu. Pertama sekali ketika aku berada di Dungun hujung bulan lepas. entri yang bertajuk Petanda Papan Tanda aku tulis di Perpustakaan Awam Daerah Dungun. Malangnya bila saja aku menekan kekunci publish untuk entri tersebut dengan tiba-tiba semuanya hilang. Frust gila aku,sebab agak panjang catatan yang aku tulis itu akhirnya hilang begitu sahaja. Tambah malang lagi aku tidak sempat untuk simpan catatan tersebut.
Balik dari Dungun ada lagi entri yang aku cuba publishkan, malangnya entri tersebut aku delete sendiri kerana merasakan ia kurang sesuai menjadi tatapan di alam maya ini. Dan kerana kesibukan tugas seharian aku terpaksa membiarkan laman blog ini tidak terusik walaupun bermacam perkara bermain diingatan. Daripada isu kontroversi Norman Hakim dan Abby Abadi hinggalah ke pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang baru, semuanya boleh menjadi isu dalam entri cuma aku kekurangan masa dan idea untuk menulis. Ditambah lagi dengan keadaan kesihatan yang tidak berapa memuaskan membuatkan banyak perkara yang sebelum ini mudah menjadi beban buat aku.
Diam tak diam blog ini menghampiri tahun yang ketiga. Terima kasih sekali lagi kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang sudi menjenguk ke laman blog yang tidak seberapa ini. Aku tidak mengharapkan anda semua bersetuju dengan apa yang tercatat di sini, cuma berharap sekurang-kurangnya kita semua dapat berkongsi cerita melalui ruang maya yang semakin luas sekarang ini. Tahun 2008 pun dah hampir menginjak ke penghujung. Kami di pejabat ketika ini sedang bertungkus lumus untuk menyudahkan beberapa program sebelum akaun ditutup pertengahan Disember nanti. Tambahan pula apabila bekerja di Pantai Timur faktor cuaca merupakan antara aspek penting yang perlu diambil kira sebelum merancang sesuatu program. Oleh sebab itulah bermula esok hingga 13hb kami semua akan berkampung di Cameron Highlands untuk menjalankan beberapa aktiviti dengan masyarakat di sana. Mudah-mudahan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insyallah mungkin akan ada cerita-cerita menarik yang aku boleh kongsi nanti bersama rakan-rakan semua......

1 comment:

Amshyar Aminudin said...

waa..banyak bizi eh keje macam bro ni..
selalu je outstation..