29 June, 2010

MENTARI MERAH DI UFUK TIMUR

Aku terpaksa tinggalkan cerita pasal cuti dan DT hari tu kerana cerita ini lebih menarik. Setelah lebih 20 tahun tidak beraksi di negeri Serambi Mekah ini, akhirnya Search kembali menggegar di Kota Bharu pada 25 Jun 2010 yang lalu. Bertempat di Hotel Rennaissance, gabungan Amy bersama -sama rakannya telah mengubati rindu para peminat yang sememangnya menunggu persembahan kumpulan lagenda ini sejak sekian lama. Persembahan eksklusif tajaan Define ini merupakan siri jelajah ke empat mereka setelah beraksi di Melaka, Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu bulan lepas.

Apa yang paling menggembirakan yang aku juga terlibat secara tidak langsung dalam persembahan ini atas kapasiti DuniaSearch (Kelab Peminat Search). Selama 3 hari bersama-sama produksi kumpulan ini, banyak kisah dan pengalaman yang diperolehi. Dan penantian panjang untuk menyaksikan Search beraksi di Kota Bharu berbaloi apabila menampilkan persembahan mantap dengan sistem bunyi yang terbaik untuk keempat-empat siri jelajah ini. Walaupun tanpa kehadiran artis undangan seperti venue-venue sebelumnya iaitu kumpulan Hujan & MUH, rata-rata penonton sebenarnya hanya inginkan Search. Beraksi dengan syarat-syarat yang agak ketat dari pihak berkuasa tempatan tidak membataskan persembahan Search yang memulakan persembahan dengan lagu Setelah Hujan. Disusuli dengan Rozana, Gadisku, Fenomena, Tiada Lagi dan Rozana. Search selepas itu terus melayan Bersalah Atau Tidak, Kejora dan Gadis Misteri. Kesejukan penonton di dalam dewan hotel kembali membara menerusi Isi dan Kulit, Melayar Bahtera, Isabella, Meniti Titian Usang dan Pawana. Tak cukup dengan itu, penonton turut sama menyanyi ketika Fantasia Bulan Madu bergema di segenap inci ruang dewan. Selepas Pelesit Kota, Search menutup persembahan dengan Amy mengalunkan lagu Kepadamu Kekasih dengan diiringi petikan keyboard dari Roza.

Secara keseluruhannya, walaupun penonton diasingkan antara penonton lelaki dan wanita, laungan dan nyanyian mereka tetap sekata mengiringi lagu-lagu dendangan Search. Tahniah juga kepada penonton di Kelantan kerana menjaga tata susila ketika persembahan berlangsung dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku semasa persembahan. Ramai juga yang kecewa kerana tidak mendapat maklumat untuk hadir menonton persembahan ini dan ramai juga yang bertanya bila Search akan kembali ke Kota Bharu. Pastinya Search amat ingin membuat persembahan lagi di sini tetapi hanya masa dan keadaan yang menentukan.

Amy mantap malam tu
Pukulan Abang menggegar
Aceh cool dengan senjatanya
Din - Lagenda Rock Malaysia
Amy
Kid dengan Krammer Naruto barunya

1 comment:

Rusdi Abd Rahman said...

Sharrul,
Memang amat-amat bersetuju bahawa Search tidak perlu dan tidak layak digandingkan dengan kumpulan-kumpulan 'indie' seperi Jumpa Pak Cik Husin - Hujan dan lain-lain yang hanya berteraskan glamor semata-mata bukannya mutu.
Search tetap di tahap atas yang istimewa tanpa sesiapa atau kumpulan lain boleh tandinginya...