26 July, 2006

Al-Fatihah buat Hani Mohsin


Semalam industri hiburan tanah air telah kehilangan seorang aktor & pengacara berbakat, Hani Mohsin Hanafi setelah allahyarham rebah ketika dalam perjalanan hendak menaiki pesawat di LCCT Sepang akibat serangan jantung. Agak terkejut juga apabila menerima berita tersebut kerana barangkali tiada siapa akan menyangka allahyarham yang selama ini dilihat sihat rupanya mempunyai masalah jantung. Namun kuasa Tuhan tiada siapa mampu menahannya. Menyorot penglibatan allahyarham dalam industri hiburan di Malaysia, allahyarham sememangnya pelakon yang berbakat besar. Beberapa filem lakonan beliau seperti Jimi Asmara, Ringgit Kasorga, Merah dan Embun membuktikan bahawa allahyarham adalah pelakon serba boleh dan berbakat. Aku juga tidak boleh lupa telemovie Pukul Dua Petang yang dilakonkan oleh allahyarham dan sempat juga aku rakam dan convertkan dalam bentuk VCD untuk simpanan. Filem terakhir allahyarham yang sempat aku tonton adalah Man Laksa dimana allahyarham telah muncul dalam satu babak ketika pementasan drama untuk persembahan yang diusahakan oleh Man Laksa. Watak pelakon pentas sebagai Polis itu berjaya mencuit hati walaupun hanya muncul cuma seketika. Minggu lepas (14/7/2006) ketika aku menghadiri majlis Anugerah Citra Wangsa di DBP, allahyarham telah berpasangan dengan Ogy sebagai pengacara majlis dan gabungan dua pengacara itu berjaya menceriakan majlis dengan usikan dan gurau senda mereka. Dan itulah kali terakhir aku melihat allahyarham. Semoga allahyarham ditempatkan dikalangan roh orang yang beriman dan diredhai oleh Allah S.W.T. Al-Fatihah buat Hani Mohsin Hanafi...

No comments: