18 July, 2006

Andai Aku Menjadi Melayu

Sebenarnya dibawah ini adalah puisi kedua aku yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia (18 Jun 2006). Mungkin ada yang perasan tapi rasanya ramai yang tak perasan. Puisi ini sebenarnya catatan resah aku mengenangkan nasib bangsa kita yang semakin leka. Kita sudah tidak ambil kisah tentang tiga perkara penting sebagai orang Melayu iaitu Tanah Melayu, Adab dan Budaya Melayu serta Bahasa Melayu. Bila tiga perkara ini sudah tidak ada pada orang Melayu, apa lagi yang harus dibanggakan oleh bangsa Melayu?

Andai Aku Menjadi Melayu

Andai aku menjadi Melayu
Pasti hati berasa sayu
Mengenang tanah warisan pusaka ini
Makin hilang di negeri sendiri
Dirobek dan didagang sesuka hati
Tidak banyak yang tinggal
Untuk milik abadi

Andai aku menjadi Melayu
Mungkin harus berasa malu
Merenung khilaf anak bangsaku
Tiada lagi segan dan silu
Hidup diruntun hawa dan nafsu
Adab sopan jadi hinaan
Maruah diri sanggup digadaikan

Andai aku menjadi Melayu
Mampukah untuk rintih bersuara
Melihat bahasaku tidak dibela
Dalam payah dihimpit setia
Tersepit kelu dimamah usia
Tidak ramai yang memahami
Hirup nafas bahasa sendiri

Sebenarnya aku juga Melayu
Cuma agak resah untuk mengaku
Kerana tiada apa yang tinggal untuk dibangga
Pada jasad yang merdeka
Masih ada yang belum terbuka
Menjulang bangsa di tanah tercinta
Melayu kekal selama-lamanya

No comments: