10 November, 2010

MENANTI TENGKUJUH

Sekian lama tak menulis. Bermula dengan kesibukan Aidilfitri yang lalu, sehinggalah ke tugasan sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober tahun ni. Memang agak sibuk sebenarnya. Sepanjang Oktober, setiap minggu aku berulang dari KB ke Kuala Terengganu. Hotel Primula dah jadi macam rumah kedua sepanjang bulan tersebut. Rekod kedatangan sekolah anak aku juga pastinya agak buruk untuk bulan Oktober ni, bila dia sama naik dengan aku ke hulu dan ke hilir.
Banyak peristiwa sebenarnya yang berlaku pada bulan Oktober yang lalu. Dalam kesibukan aku berkejar menjalankan program BBK, terpaksa balik juga ke kampung untuk majlis akad nikah adik aku, Jaja (10.10.2010). Majlis sederhana yang meriah, tapi lebih penting telah selamat kedua-duanya disatukan. Untuk program BBK pula banyak pengalaman yang aku perolehi kali ini. Kalau sebelum ini aku hanya membantu, tapi kini banyak program telah diamanahkan kepada aku. Alhamdulillah, dengan bantuan semua program dan aktiviti telah dapat dilaksanakan dengan baik.
Namun dalam kesibukan menjalankan tugas, akhirnya aku tak mampu melawan takdir Ilahi. Pada 28 Oktober 2010, dalam perjalanan balik ke rumah daripada pejabat, aku terlibat dengan kemalangan kecil (jatuh motor) dan mengakibatkan kaki kiri aku terseliuh dan bengkak. Bermula dari hari itu dan saat aku menulis ini, sebenarnya aku masih dalam Cuti Sakit (MC). Walaupun bengkak dah surut, namun masih sukar untuk menapak. Mungkin ini ujian kecil yang harus ditempuh dengan penuh kesabaran dan sebenarnya aku redha dengan ketentuan ini.
Bermula awal November juga, aku kehilangan seorang ketua yang baik dan berdedikasi apabila Pengarah aku telah diarahkan untuk berpindah ke Kuala Lumpur atas sebab kenaikan pangkat. Sememangnya agak sedih dengan perpisahan itu, apatah lagi Tuan Haji Yussop sekeluarga bukan sahaja dianggap sebagai ketua tetapi juga sebahagian daripada keluarga aku di sini. Apapun, itu juga satu ketentuan yang telah tertulis dan aku sentiasa mendoakan mendoakan agar beliau terus berjaya setelah kembali ke Kuala Lumpur. Buat seketika, dalam tempoh dua minggu ni aku benar-benar berehat. Mungkin juga ada rahmatnya dengan kecederaan ini. Sekurang-kurangnya aku dapat merehatkan diri setelah lebih sebulan bertungkus-lumus ke sana ke mari. Cuma bila dah lama macam ni, memang boring. Harap-harap kaki ni akan segera sembuh, untuk aku terus melangkah dan merancang perjalanan hidup...


08 September, 2010

AIDILFITRI KEMBALI LAGI

Catatan ini di penghujung Ramadan, setelah agak lapang sedikit dengan tugasan di pejabat & rumah. Memang agak malas untuk menulis pada ketika ini, apatah lagi facebook menjadi media yang lebih mudah dan cepat. Cuma rasanya tak lengkap sekiranya blog ini terbiar tanpa catatan begitu sahaja.
Puasa tahun ni seperti biasa, cuma tak seperti tahun2 sebelum ni bila rumah dah jadi macam kilang biskut sebab isteri aku berniaga biskut raya. Tahun ni start minggu lepas baru mula buat. Alhamdulillah, ada juga rezeki di akhir-akhir ni. Puteri aku pun dah mula belajar puasa. Setakat ni dapat la 2 hari penuh, yang lain separuh hari. Yang tak puasanya banyak...he..he..tak sampai juga nak suruh dia puasa dengan badan sekeping macam tu. Cuma sekurang-kurangnya dia dah faham erti berpuasa dan nak belajar untuk berpuasa.
Buat pertama kalinya juga tahun ni aku tak balik ke Parit Buntar semasa bulan Ramadan ni, bukan tak nak balik tapi keadaan tak mengizinkan. Melepas la aku nak makan menu kegemaran aku kat kampung. Terus terang cakap selera aku memang tak boleh pegi dengan masakan Kelantan. Nasib baik la isteri aku dah banyak belajar masakan utara, jadi kira berselera la jugak bila waktu berbuka tu.
Tahun ni jugak buat kali ketiga berturut-turut aku raya di Machang. Patutnya giliran di Parit Buntar, tapi memandangkan mak mertua aku baru meninggal awal tahun ni, jadi giliran tu dirombak balik. Cuma rasanya tengah hari raya tu bila dah selesai semua aku akan bertolak balik ke Parit Buntar. Tak boleh tunggu raya kedua, sebab takut jem teruk jalan nanti.
Apapun Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang masih sudi menjenguk ke laman blog ini, Maaf Zahir Batin kalau selama ini ada tersalah kata dan terkurang bicara. Semoga Aidilfitri ini mampu membawa rahmat dan kebahagian buat semua. Wassalam...

12 August, 2010

RAMADAN DATANG LAGI


Sekejap sahaja masa berlalu, dan Ramadan seperti lazimnya tiba kembali. Sebelum Ramadan, aku agak sibuk dengan tugas di pejabat dan dalam kesibukan tu sempat juga curi masa bawa keluarga ke Kuala Lumpur sempena hari lahir puteri aku. Minggu lepas sempat juga balik ke kampung untuk menjengah sedara mara di sana. Aku sempat menziarah tok ngah rokiah & Pak Lang E di Taiping yang uzur, sempat juga ke pembukaan kedai Zephyr Rock Station kepunyaan sepupu di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Sehari sebelum puasa sehinggalah ke hari ini masih dalam mood selsema yang memang mengganggu untuk melaksanakan tugas harian.
Tak seperti tahun-tahun sebelum ni, kalau biasanya aku dan isteri kelam-kabut mencari tepung, marjerin, butter, gula dan lain-lain untuk buat bisnes biskut raya. Untuk tahun ni kami bertukar angin untuk mencuba menjual nasi dan lauk-pauk berhampiran pejabat aku. Alhamdulillah, setakat semalam sambutannya agak baik walaupun pertama kali kami mencuba. Harap-harap ini merupakan langkah pertama untuk meneruskan misi isteri aku membuka restoran.
Dan buat semua sedara-mara dan rakan-rakan yang sudi menjengah blog ini walaupun ketika ini jarang-jarang dapat dikemaskini, aku ucapkan Selamat Menyambut Ramadan. Semoga kita dapat menyambut bulan yang mulia ini dengan penuh kesederhanaan dan merasai nikmat berpuasa sepenuhnya.

23 July, 2010

Ketika DIA Melihat Dunia

Selamat Hari Lahir buat puteri tersayang, Diya Ikhlas Ayrisha yang menyambut ulang tahun ke - 6 pada hari ini. Semoga terus dipanjangkan umur dan diberi kesejahteraan sepenuhnya dalam menempuh onak dan ranjau kehidupan.

29 June, 2010

MENTARI MERAH DI UFUK TIMUR

Aku terpaksa tinggalkan cerita pasal cuti dan DT hari tu kerana cerita ini lebih menarik. Setelah lebih 20 tahun tidak beraksi di negeri Serambi Mekah ini, akhirnya Search kembali menggegar di Kota Bharu pada 25 Jun 2010 yang lalu. Bertempat di Hotel Rennaissance, gabungan Amy bersama -sama rakannya telah mengubati rindu para peminat yang sememangnya menunggu persembahan kumpulan lagenda ini sejak sekian lama. Persembahan eksklusif tajaan Define ini merupakan siri jelajah ke empat mereka setelah beraksi di Melaka, Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu bulan lepas.

Apa yang paling menggembirakan yang aku juga terlibat secara tidak langsung dalam persembahan ini atas kapasiti DuniaSearch (Kelab Peminat Search). Selama 3 hari bersama-sama produksi kumpulan ini, banyak kisah dan pengalaman yang diperolehi. Dan penantian panjang untuk menyaksikan Search beraksi di Kota Bharu berbaloi apabila menampilkan persembahan mantap dengan sistem bunyi yang terbaik untuk keempat-empat siri jelajah ini. Walaupun tanpa kehadiran artis undangan seperti venue-venue sebelumnya iaitu kumpulan Hujan & MUH, rata-rata penonton sebenarnya hanya inginkan Search. Beraksi dengan syarat-syarat yang agak ketat dari pihak berkuasa tempatan tidak membataskan persembahan Search yang memulakan persembahan dengan lagu Setelah Hujan. Disusuli dengan Rozana, Gadisku, Fenomena, Tiada Lagi dan Rozana. Search selepas itu terus melayan Bersalah Atau Tidak, Kejora dan Gadis Misteri. Kesejukan penonton di dalam dewan hotel kembali membara menerusi Isi dan Kulit, Melayar Bahtera, Isabella, Meniti Titian Usang dan Pawana. Tak cukup dengan itu, penonton turut sama menyanyi ketika Fantasia Bulan Madu bergema di segenap inci ruang dewan. Selepas Pelesit Kota, Search menutup persembahan dengan Amy mengalunkan lagu Kepadamu Kekasih dengan diiringi petikan keyboard dari Roza.

Secara keseluruhannya, walaupun penonton diasingkan antara penonton lelaki dan wanita, laungan dan nyanyian mereka tetap sekata mengiringi lagu-lagu dendangan Search. Tahniah juga kepada penonton di Kelantan kerana menjaga tata susila ketika persembahan berlangsung dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku semasa persembahan. Ramai juga yang kecewa kerana tidak mendapat maklumat untuk hadir menonton persembahan ini dan ramai juga yang bertanya bila Search akan kembali ke Kota Bharu. Pastinya Search amat ingin membuat persembahan lagi di sini tetapi hanya masa dan keadaan yang menentukan.

Amy mantap malam tu
Pukulan Abang menggegar
Aceh cool dengan senjatanya
Din - Lagenda Rock Malaysia
Amy
Kid dengan Krammer Naruto barunya

18 June, 2010

SEPANJANG MUSIM CUTI (KONSERT DT)

Sebenarnya agak malas untuk mengemaskini blog pada hari ini, ketika penggunaan facebook lebih cepat dan ringkas. Tetapi apa pun, bila dah selalu sangat mengadap facebook, ada kalanya rindu juga untuk memblog. Sepanjang hampir dua minggu lepas, musim cuti persekolahan telah berlangsung dan dalam tempoh hampir dua minggu ni banyak kenangan dan pengalaman musim cuti sekolah yang telah aku sekeluarga lalui.

Bermula sahaja musim cuti, seawal hari Jumaat aku dah berada di Kuala Lumpur, dan seterusnya terus ke Johor Bahru pada malam itu. Kami sampai di JB sekitar pukul 1 pagi dan situasi menjadi rumit ketika mencari rumah penginapan yang akhirnya kami sesat lebih dari sejam. Dalam tempoh tiga minggu ini, dua kali kami sekeluarga ke Johor Bahru. Pertama sekali untuk tugasan rasmi dan kali ini untuk ke Konsert DT (Double Trouble) yang aku dah miss ketika berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ni. Aku tak nak mengulas panjang tentang persembahan kedua-dua kumpulan untuk Konsert Double Trouble ni. Dalam keadaan aku yang sekejap sibuk di booth DuniaSearch di hujung padang stadium dan seketika pula berada betul-betul dihadapan pentas untuk mengambil gambar, membuatkan tahap konsentrasi melayan konsert agak terganggu. Cukuplah gambar di bawah ini yang menceritakan situasi yang berlaku pada malam itu.

Sempat bergambar dengan krew DuniaSearch sebelum bergegas ke stadium

Bergaya di padang stadium, konon ala2 kumpulan rock lagenda...

Di depan booth DuniaSearch

Bersama keluarga

Ayrisha di penjuru pentas....

Sempat bergambar dengan Black Wings di belakang pentas

Keesokan hari, sempat jumpa Yazit di hotel penginapan Search.

Bersama keluarga Shaiful & Yan dari Singapura

Ok, cukup dulu untuk bahagian pertama. Lepas ni nak sambung cerita pasal balik kampung. Banyak lagi nak cerita, tapi oleh kerana mata dah tak boleh nak buka maka kena sambung lain kali la nampaknya....