Pejam celik pejam celik lebih kurang seminggu lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Terasa Ramadhan berlalu dengan agak pantas. Mungkin kerana kesibukan dengan tugas harian di pejabat di samping bisnes biskut raya di rumah membuatkan aku rasa masa begitu cepat berlalu. Bagi aku, bulan puasa bukan alasan untuk kita tidak membuat kerja. Seharusnya kita tidak menjadikan letih berpuasa itu alasan untuk kita membuat kerja dengan ala kadar. Kerja juga satu ibadah dan sekiranya kita melakukan amanah itu dengan jujur dan ikhlas,nescaya pahalanya juga akan berlipatkali ganda pada bulan ini. Persiapan raya? Bagi aku sepasang baju Melayu sudah cukup baik untuk tahun ini. Persiapan untuk puteri aku yang barangkali agak berlebihan. Kadang-kadang aku agak takut melihat orang kita membeli-belah pada musim perayaan ini yang seolah-olah tidak ada raya lagi untuk tahun hadapan. Habis semuanya hendak ditukar baru. Dari pakaian hinggalah ke perabot di rumah, dan jangan terkejut kalau ada yang tukar kereta setiap kali tiba musim hari raya ini. Entahlah, mungkin kita tersilap tafsir perkataan 'Raya' itu sehingga kita harus merayakannya bersungguh-sungguh. Aku lebih senang menggunakan sambutan Aidilfitri atau 1 Syawal sahaja kerana istilah hari raya itu lebih menggambarkan kita perlu merayakannya bersungguh-sungguh.Kalau mengikut istilah puasa pula, ianya bermaksud menahan nafsu dan ramai yang menyalah tafsirkan maksud puasa itu dengan andaian puasa hanyalah menahan nafsu makan sahaja.Seharusnya kita sedar istilah berpuasa itu adalah menahan nafsu daripada segala-galanya. Nafsu makan, nafsu berbelanja, nafsu tidur dan yang seumpama dengannya. Bermula hujung minggu ini akan kelihatanlah berduyun-duyun orang kita di pasar raya yang gila membeli-belah, dan semua ini kerana kita gagal menahan nafsu untuk berbelanja seadanya sahaja, bukan berlebih-lebihan. Dan bermula hujung minggu ini juga jalan raya akan dipenuhi kenderaan yang akan pulang ke kampung. Dalam kesibukan kenderaan yang memenuhi jalan raya pada ketika ini, kita kadang-kala hilang pertimbangan dan kewarasan yang boleh menyebabkan kemalangan. Ini sekali lagi boleh dikaitkan dengan nafsu.
Sempena menyambut 1 Syawal yang bakal menjelang, seharusnya kita bersyukur dan menginsafi segala kelebihan dan kekurangan yang ada. Usah biarkan diri kita bertuhankan nafsu hanya semata-mata untuk dilihat gah dan hebat di hari raya ini. Antara sedar atau tidak masih ramai saudara seagama yang menyambut Syawal dalam serba kekurangan, berbanding masyarakat kita yang terlampau berlebihan. Buat mereka yang sudi menjenguk ke dalam laman blog ini, aku ingin ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, semoga kehadiran Syawal ini akan memberi seribu pengertian dan keinsafan buat kita semua. Maaf Zahir Batin andai ada salah dan silap selama ini. Berhati-hati di jalan raya / lebuh raya dan Jangan Main Mercun!
1 comment:
L1pK9s write more, thanks.
Post a Comment