24 January, 2008

SUNGAI MENGALIR LESU


Sengaja aku memilih salah satu tajuk novel A. Samad Said untuk menggambarkan suasana dunia sastera Melayu di negara kita pada hari ini. Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (24 Januari 2008), Datuk A. Samad Said yang lebih mesra aku panggil Pak Samad telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara. Kenyataan itu dibuat setelah terdapat ura-ura bahawa semua pada tahun 2010 karya-karya Sasterawan Negara tidak akan lagi dipilih menjadi teks Komsas dan digantikan dengan karya-karya popular tempatan. Walaupun masih dalam peringkat cadangan, namun khabar duka itu telah mencarik hati Pak Samad hingga beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Demi kedudukan para Sasterawan Negara di Malaysia dan juga demi maruah Sastera Melayu itu sendiri sudah tentu sesuatu perlu diperbetulkan agar perkara ini tidak menjadi kenyataan.
Begitulah yang terjadi dalam senario masyarakat kita pada hari ini. Semuanya memilih yang popular dan ringan untuk menjadi santapan minda. Yang popular diangkat dengan anggapan ianya bermutu sedangkan masih banyak yang boleh dipersoalkan, manakala yang betul-betul bermutu pula semakin dipinggirkan.Masyarakat kita juga dilihat semakin hari lebih suka memikirkan benda remeh-temeh dan ringan daripada memikirkan perkara-perkara lain yang lebih memerlukan kewarasan minda untuk dianalisa, dikritik dan dihujahkan. Inilah yang menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan bangsa Melayu menjadi bangsa yang besar dan yang boleh dibanggakan. Kalau ditanya pada para pelajar kita pada hari ini berkenaan jumlah Sasterawan Negara dan namakan kesemuanya maka nescaya aku pasti tak ramai yang mampu menjawabnya. Tapi kalau ditanya berapa ramaikan Juara Akademi Fantasia dan namakan kesemuanya maka berduyun-duyunlah yang kalut untuk menjawabnya. Itu baru dalam satu perkara dan rasanya tak perlulah diberi contoh-contoh lain yang memperlihatkan betapa masyarakat kita pada hari ini makin tidak mengenali peradaban bangsa sendiri.
Kepada Pak Samad, walaupun tidak mahu lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara tetapi di mata kami di sini Bapak tetap seorang sasterawan dan seniman ulung yang dikurniakan bakat semula jadi yang hebat oleh Allah S.W.T untuk mewarnai arena persuratan Melayu di negara ini. Maafkan kami kerana hanya mampu melahirkan rasa simpati dengan apa yang berlaku ini kerana kami hanya 'menurut perintah' dan terpaksa akur dengan apa 'yang dititah'.

No comments: