16 May, 2008

TERIMA KASIH CIKGU!!!!!

Tanggal 16 Mei pastinya menjadi tarikh keramat buat semua insan bergelar guru atau cikgu. Saban tahun tarikh yang dipilih ini, istimewa untuk menghargai jasa dan sumbangan cikgu yang banyak mencorakkan masa depan anak bangsa dan semestinya mendidik seseorang insan itu dengan ilmu dan tunjuk ajar yang berguna. Setiap insan pastinya akan pernah melalui detik-detik berhadapan dengan cikgu dan menerima tunjuk ajar serta bimbingan daripada insan istimewa ini. Tak terkecuali juga aku yang sememangnya banyak menerima bimbingan dan dorongan daripada seorang cikgu sehingga mampu bekerjaya seperti sekarang.
Sempena menyambut hari guru pada hari ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada cikgu-cikgu yang banyak memberi bimbingan dan dorongan kepada aku. Bermula daripada Cikgu Saayah Din yang mengajar aku semasa darjah satu hingga darjah dua (SRK Methodist Parit Buntar), seterusnya Mr. Yeoh di darjah tiga. Kemudiannya aku berguru dengan cikgu yang amat aku hormati iaitu Cikgu Mazlan Bin Mansor dari darjah empat sehingga darjah enam. Daripadanya aku mendapat banyak pengalaman dan sememangnya manis untuk dikenang, walaupun cikgu Mazlan terkenal dengan ketegasan dan hukuman 'ganas-ganas' yang dikenakan kepada pelajarnya. Namun semua itulah yang banyak memberi pengajaran kepada kami semua di kelas Enam Kuning dan sehingga kini aku masih berusaha untuk mencari Cikgu Mazlan yang hampir 20 tahun tidak berjumpa.
Seterusnya kepada cikgu-cikgu di Sek. Men. Methodist Parit Buntar (1989-1991) semasa aku di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Bermula dengan Cikgu Saari, Cikgu Rosilawati, Cikgu Zainal, Cikgu Osman dan lain-lain yang tidak dapat aku ingat namanya lagi. Tidak lupa juga cikgu-cikgu di Sek. Men Teknik Tunku Abdul Rahman Putra Pulau Pinang (TI Penang : 1992-1993), yang banyak memberi aku pengalaman hidup di sekolah berasrama, walaupun pada mulanya aku memberontak untuk pindah dari sekolah tersebut. Masih lagi terngiang-ngiang ketegasan warden asrama Cikgu Mohd Ali dan juga cikgu-cikgu lain di TI Penang seperti cikgu Ahmad Abdul Rahman, Cikgu Jaludin, Cikgu Hisanuddin, Cikgu Saupi dan yang paling aku ingat cikgu mata pelajaran Matematik iaitu Mr. Lim Eng Chin yang pernah meramalkan aku dan sahabat baik aku Pick akan bekerja sebagai operator pengeluaran di Bayan Lepas setelah kami terlalu bengap dengan mata pelajaran matematik yang diajarnya. Mujur juga mulutnya itu tidak masin, dan sebenarnya kami telah membuktikan bahawa sindirannya itu telah memberi dorongan kepada kami untuk berjaya. Selain itu tidak lupa juga buat semua cikgu-cikgu di Sek. Men. Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar (1994-1995) yang banyak memberi panduan kepada aku untuk mengambil peperiksaan STPM. Antara nama-nama yang aku masih ingat ialah Cikgu Norzila, Cikgu Harris, Cikgu Jalil, Cikgu Razali, Cikgu Guna dan ramai lagi yang turut sama menyumbang ilmu.
Apa pun kesemua mereka yang aku sebutkan ini adalah antara insan istimewa yang banyak membentuk aku menjadi seorang insan yang masih terus mencari ilmu sehingga kini. Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik anak bangsa tidak kira di mana berada. Semoga cikgu-cikgu semua terus dirahmati dan diberi kesejahteraan untuk terus mendidik dan membimbing anak bangsa. Sebagai seorang murid dan pelajar cikgu, saya berbangga kerana pernah dididik oleh cikgu dan Insyaallah semua ilmu yang ditaburkan itu sentiasa tersemat di hati. Memetik kata-kata Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said, "Walau diambil kembali semua buku, Sempat ditinggalkannya asas Ilmu..." Terima Kasih Cikgu...!!!

No comments: