08 June, 2008

Hujung Bulan Yang Sibuk

Agak lama tidak mencatat sesuatu di sini. Walaupun tidak mencatat, namun sering menjengah. Dan melihat kepada angka pengunjung yang ada ketikanya meningkat, pastinya ada sahabat dan saudara-mara yang menjenguk masuk ke laman blog ini. Terima kasih kerana masih sudi melawat dan maaf kerana tidak sempat untuk selalu mengemaskini laman blog ini.

Sebenarnya pada penghujung bulan Mei lalu aku agak sibuk. Bukan sibuk dengan kerja tetapi sempena cuti persekolahan kesibukan itu menjurus untuk keluarga pula. Bermula 23 Mei 2008 (Jumaat) aku sudah berada di Kuala Lumpur. Ketika masuk sahaja ke bandaraya Kuala Lumpur hujan turun dengan lebat dan aku tersangkut hampir sejam dalam kesesakan. Tidak tahu apa puncanya tetapi akhirnya jalan yang dinaiki air menjadi punca. Yang kelakarnya air yang naik hanya setakat paras buku lali, tetapi kesesakan menyebabkan ramai yang panas hati...
Malamnya tanpa membuang masa aku dan kawan-kawan Multipliers sempat jamming di Studio Pertama, KL. Walaupun harus bertolak awal pagi ke Kluang esok untuk menghadiri kenduri tapi peluang untuk jamming tak harus aku persiakan. Sudahnya aku hanya sampai di rumah adik aku menjelang pukul 1.00 pagi.

* Semasa sedang sibuk membelasah Drum....
24 Mei 2008 (Sabtu)

Seawal pagi aku sudah dikejutkan oleh emak yang sampai tengah malam semalam dari kampung bersama ayah. Biasalah, emak akan menjadi orang pertama yang bangun dan mengejutkan orang-orang lain. Tambahan pula pagi ini kami akan bertolak ke Kluang untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu aku di sana. Kami bertolak sekitar pukul 8.00 pagi dan singgah bersarapan di hentian Seremban, sambil tu kami menunggu adik kepada ayah aku untuk konvoi sekali ke Kluang. Sampai di Kluang sekitar pukul 12.00 tengah hari dan ketika sampai ke dewan tempat berlangsungnya kenduri pihak katering baru sahaja selesai menyediakan buffet makanan dan tidak ada tetamu lagi yang datang. Ini agak berlainan dengan di kampung aku yang biasanya makan dimulakan seawal 11.00-11.30 pagi. Dan oleh kerana masih belum ramai tetamu lagi yang datang, sempatlah ayah dan adik-adiknya berbual mesra oleh kerana sudah agak lama mereka tidak bertemu. Kali terakhir aku ke Kluang ialah 8 tahun yang lepas dan sudah tentu banyak yang cerita yang boleh dibualkan.

* Beberapa rakaman gambar ayah bersama-sama adiknya.
Kami bertolak dari Kluang menjelang pukul 3.00 petang, dan dalam keadaan mengantuk aku gagahkan diri terus memandu dan akhirnya kami sampai ke Bukit Jalil pada pukul 6.00 petang. Selepas Maghrib kami sekeluarga ke Stadium Putra Bukit Jalil yang lokasinya hampir dengan rumah adik. Cadangnya hendak menonton konsert akhir Akademi Fantasia melalui skrin besar di luar stadium kerana rumah adik tidak ada Astro. Ketika sedang berlegar di sekitar kawasan gerai di situ kami ditawarkan tiket percuma untuk masuk ke dalam stadium dan sudahnya kami semua menonton konsert akhir Akademi Fantasia secara langsung dari dalam stadium

*Gelagat Ayrisha yg mulanya bersemangat dan kemudiannya lena....

25 Mei 2008(Ahad)
Hari ini kami sekeluarga perlu menghadiri kenduri lagi. Kali ini lokasinya agak dekat iaitu di Shah Alam. Yang menariknya setelah sampai di seksyen 17 Shah Alam, baru aku tahu yang rupa-rupanya rumah kenduri tersebut betul-betul terletak di belakang rumah sewa aku dan rakan-rakan semasa kami belajar di UiTM dahulu. Kalau aku tahu dari dulu yang ada sedara tinggal kat belakang rumah sewa kami dah tentu akan rajin berkunjung, untung-untung boleh makan free...Selepas kenyang dengan nasi briyani yang dihidangkan kami terus kembali ke KL dan kali ini lokasinya khusus untuk mak dan isteri aku, Jalan Masjid India! Senario hari Ahad di Jalan Masjid India dan Jalan TAR semestinya sibuk dan tugas aku menjaga puteri kecil aku yang tidak menghiraukan kesibukan manusia lain.

Malam...
Selepas Maghrib aku terus bertolak ke Jalan Sultan Ismail. Lokasinya Planet Hollywood (PH). Malam ini kumpulan Wings bermain untuk kali ke dua di kelab tersebut dan sudah tentu aku tidak mahu melepaskan peluang untuk turut sama berhibur dengan rakan-rakan. Ketika sedang melepak berhampiran 7 Eleven berhampiran PH, Yazit Search datang bersama keluarga untuk turut sama menonton. Sempat bersalam dengan Abang dan dia tergelak kecil melihat aku memakai T-Shirt Search untuk menonton konsert Wings. Sayangnya tak sempat mengambil gambar bersama beliau. Ketika memasuki ruang dalam PH aku berjumpa dengan penyanyi kumpulan Pilgrims iaitu Bob. Bob merupakan rakan lama di kampung dan dia juga agak terkejut melihat kelibat aku di situ. Konsert bermula pukul 10.30 dan berakhir pukul 1.30 pagi dengan penuh rock n roll.....
*Antara aksi yang sempat dirakamkan pada persembahan tersebut....

26 Mei 2008 (Isnin)
Kami sekeluarga sekali lagi bertolak ke Shah Alam. Sebenarnya tujuan utama kami sekeluarga berada di Kuala Lumpur ini adalah untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-68 UiTM di mana adik bongsu aku akan menerima Diploma beliau pada hari ini. Kami tiba di UiTM agak lewat dan sesampai sahaja di sana adik(Jaja) bersama ayah dan emak bergegas masuk ke dalam Dewan Seri Budiman. Kami pula terpaksa berlegar di luar dewan dan kesempatan ini aku bawa isteri dan anak untuk melihat tempat-tempat aku semasa belajar di UiTM hampir 10 tahun yang lalu. Foyer UiTM agak banyak berubah tetapi kenangan-kenangan lalu bersama-sama kawan-kawan tetap dalam ingatan. Sempat juga aku bertemu rakan-rakan yang bertugas di PTAR (Perpustakaan Tun Abdul Razak) seperti Aznur, Ustad dan Zubir. Akhirnya lebih kurang pukul 5.30 petang barulah segalanya selesai dan oleh kerana terlalu lapar kami hanya sempat mengabadikan potret hanya seketika di UiTM sebelum terus keluar mencari makanan.


Malamnya pula kami sekeluarga ke Putarajaya. Dan berbekalkan jubah Konvo adik aku yang belum dipulangkan sempatlah aku berposing dengan keluarga pula. Balik dari Putrajaya kami terus ke Bangi Kopitiam. Kedai milik Kid Search ini telah beberapa kali aku kunjungi. Malam ini sedikit beruntung kerana Kid berada di kedainya, tetapi baru sahaja kami menikmati makanan Kid keluar dengan keretanya ke destinasi yang entah ke mana.


*Aksi kami sekeluarga dan puteri aku yang berangan menjadi Power Puff Girl
27 Mei 2008 (Selasa)
Kami keluar seawal pukul 9.00 pagi. Lagi sekali lokasi ke Jalan Masjid India kerana perempuan-perempuan yang ada di sekeliling aku belum puas membeli. Selepas itu menikmati makan tengah hari di Kampung Baru dan kemudiannya melawat seorang rakan keluarga yang terlantar sakit di IJN. Ayah dan emak akan pulang ke kampung dengan bas 3.30 petang, dan oleh kerana masih punya banyak masa aku melencongkan mereka ke Tugu Negara. Di sana masih sempat membeli beberapa cenderamata yang menarik dan rasanya kami macam pelancong yang pertama kali datang ke Malaysia! Tepat pukul 3.45 petang, bas Transnasional membawa emak dan ayah keluar dari terminal Jalan Putra dan puteri kesayangan aku terus mengamuk dalam kereta hendak mengikut opah dan wannya pulang ke kampung....

No comments: