26 April, 2009

SEORANG SAHABAT ISTIMEWA

Perkenalan aku dengan sahabat ini tak silap aku lebih kurang 3 atau 4 tahun lepas. Kami berkenalan secara maya, oleh sebab mempunyai minat yang sama dalam mengumpul video klip muzik lama terutamanya dalam arena rock, dari situ aku mengenali sahabat ini. Pada permulaan kami berhubung melalui SMS sahaja. Dia mempunyai banyak koleksi pita video klip muzik lama dan aku pula mempunyai kepakaran untuk convert bahan-bahan tersebut dalam format VCD dan DVD, maka kami sering bertukar-tukar bahan untuk dijadikan koleksi.

Pada satu ketika setelah selalu sangat berhubung melalui SMS, aku teringin untuk berbual dengan sahabat ini, setelah mencuba beberapa kali menghubunginya akhirnya beliau membalas dengan SMS yang antara lainnya meminta aku agar tidak menelefonnya kerana sebenarnya ia mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu bertutur dengan sempurna. Aku akur dengan permintaan itu dan seterusnya kami sering berhubung melalui SMS, apatah lagi apabila memerlukan bantuan tertentu daripada sahabat ini yang menetap di Ipoh. Daripada maklumat seorang rakan lain, aku mengetahui bahawa sahabat ini sememangnya mempunyai masalah kesihatan yang menjadikannya tidak sempurna seperti manusia biasa.

Penghujung tahun lepas, agak lama aku tidak menerima SMS daripada sahabat ini, beberapa kali aku menghantar SMS kepadanya tetapi tidak mendapat jawapan. Tak berapa lama selepas itu barulah dia membalas SMS aku dengan menyatakan keadaan kesihatannya yang semakin teruk sehingga terpaksa ditempatkan di hospital. Berikutnya SMS yang dihantar kepada aku hanya ringkas-ringkas dan ada kalanya tidak dapat difahami kerana kesukaran dia untuk menaip di telefon bimbit dengan sempurna. Tak silap aku pada pertengahan bulan Disember 2008, sahabat ini telah menghantar SMS kepada aku dengan menyertakan nama dan kata laluan sebuah laman web yang diusahakannya untuk aku simpan kerana sahabat ini merasakan dia sudah tidak mampu lagi untuk menguruskkannya. Aku terima permintaan itu, dan beberapa kali membuka laman webnya tanpa menganggu apa jua bahan yang terkandung dalam laman web tersebut. Pernah sekali aku ke bandaraya Ipoh dan cuba untuk singgah menziarahi sahabat ini, malangnya ketika itu SMS dan panggilan yang aku hantar kepadanya tidak berbalas. Dan sejak itu, aku sering menyatakan kepada isteri akan keinginan aku menziarahi sahabat yang seorang ini.

Selepas daripada itu, aku mendapat tahu kesihatan sahabat ini bertambah pulih dan dia sering sahaja menghantar SMS kepada aku hanya kadang kala untuk bertanya khabar. SMS yang dihantar ada kalanya tak menentu masa, pernah aku menerima SMS pada waktu subuh dan tengah malam. Aku sering berkata pada isteri mungkin sahabat ini memerlukan perhatian yang lebih kerana masalah kesihatannya, jadi SMS yang dihantar kepada aku pastinya aku balas. Dua bulan lepas, sahabat ini menghantar SMS kepada ku meminta bantuan untuk mencari VCD atau DVD filem-filem Melayu lama yang ia ingin tonton. Katanya puas di cari di bandaraya Ipoh tetapi belum ketemu. Dalam kesibukan aku di sini, sempat juga aku mencari VCD filem-filem yang ingin ditonton oleh sahabat ini di pusat-pusat membeli-belah tetapi hampa tidak ada yang menjualnya. Aku hanya sempat menghantar VCD filem Mat Som karya Hatta Azad Khan yang kebetulan memang berada dalam koleksi simpanan aku. Itu pun setelah sahabat ini beberapa bertanya melalui SMS. Sahabat ini telah menghantar SMS kepada aku apabila VCD filem Mat Som yang aku hantar sampai kepadanya, dan aku kira itu antara kiriman SMS terakhir yang aku terima daripadanya.

Tiga hari lepas, ketika mengemas pita-pita video dalam koleksi aku, aku terpandang tiga buah pita video milik sahabat ini yang masih aku belum pulangkan walaupun telah aku edit dan convertkan ke format DVD. Terdetik dalam hati yang agak lama sahabat ini tidak mengutus SMS dan cadangnya aku ingin menghantar SMS untuk bertanya khabar. Namun kerana hambatan kerja, aku terlupa untuk menghantar SMS kepada sahabat ini.


Dan semalam, ketika berada di Kuala Lumpur, aku menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat di Tanjung Malim menyatakan bahawa sahabat aku ini telah kembali ke Rahmatullah dua hari lepas (23 April 2009). Aku menerima berita ini dengan perasaan sedih dan pilu. Rupa-rupanya dihari aku terpandang pita video milik sahabat ini dan berkira-kira untuk menghantar SMS kepadanya, sahabat ini telah dijemput kembali ke alam Baqa. Ketika berada di dalam bas semalam untuk pulang ke Kota Bharu dan mengenang kembali segala kenangan dengan seorang sahabat istimewa ini aku tidak mampu untuk membendung air mata daripada menitis. Tanpa pernah bersua muka, berbicara, dan ketawa mesra, aku kehilangan seorang sahabat istimewa yang jujur dalam persahabatan. Dan pagi ini apabila membuka laman web multiplynya, baru aku sedar yang entri terakhir allahyarham dalam webnya adalah lirik lagu Rabbani - Pergi Tak Kembali, dan ini menambahkan lagi rasa pilu dihati.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Janatul Adnin. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman....
* Sesiapa yang ada hantar komen kat blog ni berkaitan VCD apa ntah, tolong hubungi aku kembali sebab aku tak sempat baca komen tu & terpadam.

23 April, 2009

HUJUNG MINGGU YANG MEMENATKAN

Hujung minggu lepas seperti lazimnya apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bermula, maka sudah menjadi tugas hakiki aku untuk turun membuat pemilihan. Alhamdulillah, dalam masa dua hari aku berjaya menyudahkan pemilihan tersebut walaupun agak penat dengan kesesakan di pesta buku. Dalam sibuk-sibuk ke pesta buku, aku harus menyudahkan satu projek di ibu pejabat dan saban malam aku berada di sana sehingga kadangkala mencecah pukul 1.00 pagi. Keadaan ini sedikit memenatkan sehingga anak aku bersungut yang aku pagi pergi kerja, malam pun pergi kerja.....Nak tak nak aku terpaksa meluangkan sedikit masa yang ada untuk membawanya keluar berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur termasuk berkunjung ke rumah Puan Saki Sasamori.
Dalam pada kesibukan di Pesta Buku dan menguruskan projek pejabat, aku juga perlu membereskan urusan dengan pengurusan Search berkaitan gerai kami di setiap tapak konsert. sempat juga dua kali mengadakan diskusi berkaitan urusan ini dan sempat juga aku menjengah Search berlatih di sebuah studio di Jalan Robson....

Apapun bermula bulan hadapan, aku akan lebih sibuk dan penat.......

Dan pastinya puteri aku akan bosan dengan situasi tersebut....

12 April, 2009

AMY SEARCH DI KOTA BHARU

Sebenarnya berita tentang Amy akan ke Kota Bharu telah dimaklumkan kepada aku semenjak bulan lepas lagi oleh pihak pengurusan Amy & Search. Dan aku memang berjanji untuk turun bersama, sambil2 merakamkan gambar Amy di sini untuk laman web Duniasearch. Cuma tak sangka yang Amy akan menyanyi di hadapan Tuan Guru Datuk Nik Aziz dan sempena kempen menambah ahli Pemuda PAS. Sampai sahaja di Stadium Sultan Mohd Ke-IV baru aku menyedari situasi tersebut. Nak tak nak aku harus menyaksikan detik bersejarah ini dan tak sangka pula gambar aku berdiri depan pentas (ketika itu sedang bersembang dgn Amy) menjadi gambar yang menghiasi beberapa laman blog pembangkang. He..he..nak tengok gambarnya? Pandai-pandailah cari sendiri....

07 April, 2009

akhirnya SEARCH DI AWAN BIRU

Berita mengenai konsert jelajah (tour) ini bukan baru bagi kami peminat setia Search yang berada dalam Duniasearch. Lebih dari tiga bulan berita ini sudah tersebar dan kami hanya menunggu detik ianya menjadi kenyataan. Dan semalam kesahihan berita ini telah termakbul dalam sidang media yang dibuat di Menara Celcom. Akhirnya Search Di Awan Biru atau nama asal konsert ini Search Farewell Tour akan menemui semua khalayak peminat Search di seluruh negara mulai 2 Mei - 1 Ogos 2009. Tahniah juga kepada Celcom yang akhirnya sudi menaja konsert jelajah ini sedangkan banyak pihak lain memandang sepi untuk menaja artis tempatan mengadakan konsert. Jadi buat para rockers atau yang pernah menjadi rockers suatu ketika dahulu, bersedialah untuk menerima gegaran daripada kumpulan Search. Lebih menarik, Kota Bharu turut menjadi salah satu lokasi konsert jelajah ini. Setelah hampir 20 tahun Search tidak pernah membuat persembahan di sini, akhirnya Search akan kembali menggegarkan Stadium Sultan Mohd Ke-IV. Lebih menarik, aku dan beberapa rakan di Duniasearch telah diminta menguruskan gerai Duniasearch di semua lokasi konsert (semenanjung sahaja) untuk menjual pelbagai barangan Search dan bukan itu sahaja segala khazanah dan koleksi berharga peminat Search akan turut dipamerkan di gerai tersebut. Insyaallah, aku akan cuba berada di setiap lokasi konsert untuk turut sama memeriahkan majlis. Jumpa kalian di sana & Keep On Rockin!

KONSERT SEARCH DI AWAN BIRU

1
Saturday – 2nd May 2009
Tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Jaya
2
Saturday – 9th May 2009
Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru
3
Saturday – 16th May 2009
Stadium Mini Jengka, Jengka
4
Friday – 22nd May 2009
Stadium Sultan ismail Nasiruddin Shah,Kuala Terengganu
5
Friday – 29th May 2009
Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star
6
Friday – 5th June 2009
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bahru
7
Saturday – 27th June 2009
Stadium Sarawak, Kuching
8
Saturday – 4th July 2009
Stadium Tertutup Miri, Miri
9
Saturday – 11th July 2009
Kompleks Sukan Sandakan, Sandakan
10
Saturday – 18th July 2009
Kompleks Sukan Tawau, Tawau
11
Saturday 1st August 2009
Stadium MBPJ Kelana Jaya @ Stadium Shah Alam (TBC)

Tiket boleh di beli melalui laman web Tiket Hotline

01 April, 2009

CUTI-CUTI MALAYSIA - SARAWAK

Ketika zaman kanak-kanak, apabila melihat sahaja kapal terbang melintasi ruang udara di halaman rumah, maka aku akan terlompat-lompat dan melambai kepada kapal terbang itu dengan penuh keriangan. Pada masa itu, kapal terbang bagi aku satu kenderaan mewah yang aku sendiri tak termimpi untuk duduk di dalamnya. Ketika itu, bagi aku mereka yang dapat menaiki kapal terbang merupakan mereka yang cukup kaya dan mewah. Sesekali aku akan terlopong mendengar cerita daripada kawan-kawan dan saudara mara yang pernah merasai pengalaman menaiki kapal terbang.


Itu cerita dulu, sengaja aku jadikan pembuka untuk catatan ini. Hari ini semua orang sudah mampu untuk terbang. Dan oleh kerana janji dengan isteri dan anak yang sudah lama diungkapkan, maka dengan kerjasama syarikat penerbangan tambang murah (kalau beli awal) Air Asia, aku telah membawa keluarga untuk bercuti ke Kuching, Sarawak. Puteri aku semenjak mengetahui akan naik kapal terbang sibuk menghitung hari, dan akhirnya tanggal 28hb Mac kami bertiga telah berada di LCCT menunggu penerbangan AK 5208 ke Kuching.




Kami sampai di Kuching sekitar pukul 3.00 petang kerana kelewatan penerbangan syarikat tambang murah yang sampai dari Singapura untuk mengambil penumpang ke Kuching. Kami di sambut oleh Pakcik Bujang dan Mak Cik Salbiah (keluarga angkat Pak Cik aku) yang menunggu di lapangan terbang antarabangsa Kuching dan terus di bawa ke rumah mereka yang lokasinya berhampiran dengan lapangan terbang. Kami terus sahaja dihidangkan dengan hidangan tengah hari. Selepas makan dan berehat seketika, kami terus keluar ke pasar malam di pekan Satok. Selepas membeli satu dua barang untuk makan malam, kami terus ke Pinggiran Sungai Sarawak. Sempat juga merakamkan panorama Sungai Sarawak di waktu senja dan seterusnya mencari identiti bandar raya Kuching iaitu patung kucing yang besar. Sebelum sampai ke Kuching, puteri aku asyik menceritakan kepada orang yang dia hendak melihat 'kucing' di Sarawak dan sudahnya apabila dapat bergambar dengan patung kucing yang besar selepas itu sehingga hari ini dia asyik bertanyakan kenapa kucing itu menjadi batu....jenuh aku dengan isteri memberi jawapan...

Ahad, 29 Mac 2008. Seawal pukul 7.00 pagi kami telah bertolak ke pekan Sarekin. Sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 80km daripada bandar raya Kuching. Setiap hari Sabtu dan Ahad, para peniaga daripada Indonesia akan datang untuk menjual segala barang dagangan dari negara tersebut di pekan Sarekin. Kami sampai sekitar pukul 8.oo dan semua gerai jualan telah dibuka. Banyak barang-barang Indonesia yang cantik dan murah terdapat di sini. Apatah lagi bagi kaum ibu kerana kebanyakan barang-barang yang dijual di sini merupakan barang-barang yang amat digemari oleh golongan hawa ini. Banyak juga yang kami beli di sini, tambahan lagi puteri aku sering mengingatkan untuk membeli barang untuk semua orang yang diingatinya. Dia ingat ayahnya ni cap duit...he..he...



Dan puteri aku cukup teruja dengan kain telekung yang dibeli di pekan Sarekin ini sehinga tak sempat-sempat untuk mencubanya di dalam kereta. Setelah selesai membeli-belah kami terus pulang ke rumah sebentar untuk mengambil beberapa barang dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Santubong. Pak Cik dan Mak Cik telah berjanji untuk makan tengah hari di rumah sepupu mereka dan kami beruntung kerana rumah sepupu mereka ini betul-betul di kaki Gunung Santubong. Sempatlah mendengar cerita tentang lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang daripada makcik di dalam kereta, siap dengan nyanyian lagu puteri Santubong dan sudahnya sehingga ke hari ini anak aku asyik menyuruh ibunya menyanyikan lagu tersebut...


Setelah penat menjamu selera dengan pelbagai jenis hidangan di Santubong kami meneruskan perjalanan ke bandar raya Kuching. Kali ini sempat menaiki perahu menyeberang Sungai Sarawak dan selepas itu berjalan-jalan sekitar pinggiran Sungai Sarawak. Kami hanya seketika di situ sebelum pulang ke rumah kerana hari hampir senja.


Isnin - 30 Mac 2009. Sekejap saja masa berlalu, baru sedar yg masa tiga hari tak cukup untuk membawa kami mengenali bandar raya Kuching dengan lebih dekat. Seawal pagi kami dah keluar untuk membeli sedikit cenderamata yang kebanyakannya diingatkan oleh puteri aku. Habis semua nama kawan-kawannya disebut untuk diberi hadiah...Selepas itu balik ke rumah untuk bersiap dan mengemas apa yang patut. Penerbangan kami menggunakan pesawat AK 5207 akan bertolak pada pukul 1.55 petang dan sekali lagi diingatkan sekiranya anda menggunakan perkhidmatan tambang murah ini anda seharusnya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya 1 setengah jam lebih awal dari waktu berlepas. Setelah makan tengah hari, kami dihantar oleh Pak Cik Bujang dan Mak cik Salbiah ke lapangan terbang. Agak sedih untuk meninggalkan keluarga yang begitu baik hati ini dan kami sememangnya berjanji untuk kembali ke Kuching kerana masih banyak yang belum diteroka. Terima kasih banyak-banyak kepada keluarga Haji Bujang & Hajah Salbiah yang senantiasa ceria melayan karenah kami. Setelah memasuki balai pelepasan, diberitakan bahawa pesawat yang akan membawa kami akan mengalami kelewatan dan ini merupakan perkara biasa bagi syarikat penerbangan tambang murah ini....

Kami sampai di LCCT sekitar pukul 4.00 petang. Perjalanan agak terganggu dengan keadaan cuaca buruk yang menyebabkan gegaran berlaku sepanjang 10 minit sebelum mendarat. Walaupun dah banyak kali menaiki kapal terbang, gegaran ini sedikit memucatkan aku. Isteri aku juga sama, cuma anak aku yang boleh selamba walaupun dia juga terganggu dengan desing telinga akibat tekanan udara. Sampai sahaja di Kuala Lumpur aku dan isteri bertekad untuk pergi lagi ke Kuching. Apatah lagi setelah memeriksa tiket Air Asia secara atas talian bagi perjalanan ke Kuching untuk tahun hadapan (januari) harga adalah dalam lingkungan RM 70.00 seorang pergi dan balik. Rasanya macam nak pergi jer lagi ni....Sampai di rumah adik di Bukit Jalil, setelah memunggah barang-barang yang kami beli baru aku sedar yang rupa-rupanya hanya satu barang saja yang aku beli untuk diri aku sendiri sepanjang 3 hari berada di Kuching dan inilah barangnya......


Drum Stick Zildjian saiz 5B buatan Indonesia yang aku beli di Pekan Sariken. Ini bukan drum stick Zildjian yang original tapi cetak rompak cap Indonesia. Harganya cuma RM 11 sahaja.....dan ketika itulah baru aku terasa seperti hendak menangis...he..he..he...