Kami sampai di Kuching sekitar pukul 3.00 petang kerana kelewatan penerbangan syarikat tambang murah yang sampai dari Singapura untuk mengambil penumpang ke Kuching. Kami di sambut oleh Pakcik Bujang dan Mak Cik Salbiah (keluarga angkat Pak Cik aku) yang menunggu di lapangan terbang antarabangsa Kuching dan terus di bawa ke rumah mereka yang lokasinya berhampiran dengan lapangan terbang. Kami terus sahaja dihidangkan dengan hidangan tengah hari. Selepas makan dan berehat seketika, kami terus keluar ke pasar malam di pekan Satok. Selepas membeli satu dua barang untuk makan malam, kami terus ke Pinggiran Sungai Sarawak. Sempat juga merakamkan panorama Sungai Sarawak di waktu senja dan seterusnya mencari identiti bandar raya Kuching iaitu patung kucing yang besar. Sebelum sampai ke Kuching, puteri aku asyik menceritakan kepada orang yang dia hendak melihat 'kucing' di Sarawak dan sudahnya apabila dapat bergambar dengan patung kucing yang besar selepas itu sehingga hari ini dia asyik bertanyakan kenapa kucing itu menjadi batu....jenuh aku dengan isteri memberi jawapan...
Ahad, 29 Mac 2008. Seawal pukul 7.00 pagi kami telah bertolak ke pekan Sarekin. Sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 80km daripada bandar raya Kuching. Setiap hari Sabtu dan Ahad, para peniaga daripada Indonesia akan datang untuk menjual segala barang dagangan dari negara tersebut di pekan Sarekin. Kami sampai sekitar pukul 8.oo dan semua gerai jualan telah dibuka. Banyak barang-barang Indonesia yang cantik dan murah terdapat di sini. Apatah lagi bagi kaum ibu kerana kebanyakan barang-barang yang dijual di sini merupakan barang-barang yang amat digemari oleh golongan hawa ini. Banyak juga yang kami beli di sini, tambahan lagi puteri aku sering mengingatkan untuk membeli barang untuk semua orang yang diingatinya. Dia ingat ayahnya ni cap duit...he..he...
Dan puteri aku cukup teruja dengan kain telekung yang dibeli di pekan Sarekin ini sehinga tak sempat-sempat untuk mencubanya di dalam kereta. Setelah selesai membeli-belah kami terus pulang ke rumah sebentar untuk mengambil beberapa barang dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Santubong. Pak Cik dan Mak Cik telah berjanji untuk makan tengah hari di rumah sepupu mereka dan kami beruntung kerana rumah sepupu mereka ini betul-betul di kaki Gunung Santubong. Sempatlah mendengar cerita tentang lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang daripada makcik di dalam kereta, siap dengan nyanyian lagu puteri Santubong dan sudahnya sehingga ke hari ini anak aku asyik menyuruh ibunya menyanyikan lagu tersebut...
Setelah penat menjamu selera dengan pelbagai jenis hidangan di Santubong kami meneruskan perjalanan ke bandar raya Kuching. Kali ini sempat menaiki perahu menyeberang Sungai Sarawak dan selepas itu berjalan-jalan sekitar pinggiran Sungai Sarawak. Kami hanya seketika di situ sebelum pulang ke rumah kerana hari hampir senja.
Isnin - 30 Mac 2009. Sekejap saja masa berlalu, baru sedar yg masa tiga hari tak cukup untuk membawa kami mengenali bandar raya Kuching dengan lebih dekat. Seawal pagi kami dah keluar untuk membeli sedikit cenderamata yang kebanyakannya diingatkan oleh puteri aku. Habis semua nama kawan-kawannya disebut untuk diberi hadiah...Selepas itu balik ke rumah untuk bersiap dan mengemas apa yang patut. Penerbangan kami menggunakan pesawat AK 5207 akan bertolak pada pukul 1.55 petang dan sekali lagi diingatkan sekiranya anda menggunakan perkhidmatan tambang murah ini anda seharusnya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya 1 setengah jam lebih awal dari waktu berlepas. Setelah makan tengah hari, kami dihantar oleh Pak Cik Bujang dan Mak cik Salbiah ke lapangan terbang. Agak sedih untuk meninggalkan keluarga yang begitu baik hati ini dan kami sememangnya berjanji untuk kembali ke Kuching kerana masih banyak yang belum diteroka. Terima kasih banyak-banyak kepada keluarga Haji Bujang & Hajah Salbiah yang senantiasa ceria melayan karenah kami. Setelah memasuki balai pelepasan, diberitakan bahawa pesawat yang akan membawa kami akan mengalami kelewatan dan ini merupakan perkara biasa bagi syarikat penerbangan tambang murah ini....
Kami sampai di LCCT sekitar pukul 4.00 petang. Perjalanan agak terganggu dengan keadaan cuaca buruk yang menyebabkan gegaran berlaku sepanjang 10 minit sebelum mendarat. Walaupun dah banyak kali menaiki kapal terbang, gegaran ini sedikit memucatkan aku. Isteri aku juga sama, cuma anak aku yang boleh selamba walaupun dia juga terganggu dengan desing telinga akibat tekanan udara. Sampai sahaja di Kuala Lumpur aku dan isteri bertekad untuk pergi lagi ke Kuching. Apatah lagi setelah memeriksa tiket Air Asia secara atas talian bagi perjalanan ke Kuching untuk tahun hadapan (januari) harga adalah dalam lingkungan RM 70.00 seorang pergi dan balik. Rasanya macam nak pergi jer lagi ni....Sampai di rumah adik di Bukit Jalil, setelah memunggah barang-barang yang kami beli baru aku sedar yang rupa-rupanya hanya satu barang saja yang aku beli untuk diri aku sendiri sepanjang 3 hari berada di Kuching dan inilah barangnya......
Drum Stick Zildjian saiz 5B buatan Indonesia yang aku beli di Pekan Sariken. Ini bukan drum stick Zildjian yang original tapi cetak rompak cap Indonesia. Harganya cuma RM 11 sahaja.....dan ketika itulah baru aku terasa seperti hendak menangis...he..he..he...
No comments:
Post a Comment