26 April, 2009

SEORANG SAHABAT ISTIMEWA

Perkenalan aku dengan sahabat ini tak silap aku lebih kurang 3 atau 4 tahun lepas. Kami berkenalan secara maya, oleh sebab mempunyai minat yang sama dalam mengumpul video klip muzik lama terutamanya dalam arena rock, dari situ aku mengenali sahabat ini. Pada permulaan kami berhubung melalui SMS sahaja. Dia mempunyai banyak koleksi pita video klip muzik lama dan aku pula mempunyai kepakaran untuk convert bahan-bahan tersebut dalam format VCD dan DVD, maka kami sering bertukar-tukar bahan untuk dijadikan koleksi.

Pada satu ketika setelah selalu sangat berhubung melalui SMS, aku teringin untuk berbual dengan sahabat ini, setelah mencuba beberapa kali menghubunginya akhirnya beliau membalas dengan SMS yang antara lainnya meminta aku agar tidak menelefonnya kerana sebenarnya ia mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu bertutur dengan sempurna. Aku akur dengan permintaan itu dan seterusnya kami sering berhubung melalui SMS, apatah lagi apabila memerlukan bantuan tertentu daripada sahabat ini yang menetap di Ipoh. Daripada maklumat seorang rakan lain, aku mengetahui bahawa sahabat ini sememangnya mempunyai masalah kesihatan yang menjadikannya tidak sempurna seperti manusia biasa.

Penghujung tahun lepas, agak lama aku tidak menerima SMS daripada sahabat ini, beberapa kali aku menghantar SMS kepadanya tetapi tidak mendapat jawapan. Tak berapa lama selepas itu barulah dia membalas SMS aku dengan menyatakan keadaan kesihatannya yang semakin teruk sehingga terpaksa ditempatkan di hospital. Berikutnya SMS yang dihantar kepada aku hanya ringkas-ringkas dan ada kalanya tidak dapat difahami kerana kesukaran dia untuk menaip di telefon bimbit dengan sempurna. Tak silap aku pada pertengahan bulan Disember 2008, sahabat ini telah menghantar SMS kepada aku dengan menyertakan nama dan kata laluan sebuah laman web yang diusahakannya untuk aku simpan kerana sahabat ini merasakan dia sudah tidak mampu lagi untuk menguruskkannya. Aku terima permintaan itu, dan beberapa kali membuka laman webnya tanpa menganggu apa jua bahan yang terkandung dalam laman web tersebut. Pernah sekali aku ke bandaraya Ipoh dan cuba untuk singgah menziarahi sahabat ini, malangnya ketika itu SMS dan panggilan yang aku hantar kepadanya tidak berbalas. Dan sejak itu, aku sering menyatakan kepada isteri akan keinginan aku menziarahi sahabat yang seorang ini.

Selepas daripada itu, aku mendapat tahu kesihatan sahabat ini bertambah pulih dan dia sering sahaja menghantar SMS kepada aku hanya kadang kala untuk bertanya khabar. SMS yang dihantar ada kalanya tak menentu masa, pernah aku menerima SMS pada waktu subuh dan tengah malam. Aku sering berkata pada isteri mungkin sahabat ini memerlukan perhatian yang lebih kerana masalah kesihatannya, jadi SMS yang dihantar kepada aku pastinya aku balas. Dua bulan lepas, sahabat ini menghantar SMS kepada ku meminta bantuan untuk mencari VCD atau DVD filem-filem Melayu lama yang ia ingin tonton. Katanya puas di cari di bandaraya Ipoh tetapi belum ketemu. Dalam kesibukan aku di sini, sempat juga aku mencari VCD filem-filem yang ingin ditonton oleh sahabat ini di pusat-pusat membeli-belah tetapi hampa tidak ada yang menjualnya. Aku hanya sempat menghantar VCD filem Mat Som karya Hatta Azad Khan yang kebetulan memang berada dalam koleksi simpanan aku. Itu pun setelah sahabat ini beberapa bertanya melalui SMS. Sahabat ini telah menghantar SMS kepada aku apabila VCD filem Mat Som yang aku hantar sampai kepadanya, dan aku kira itu antara kiriman SMS terakhir yang aku terima daripadanya.

Tiga hari lepas, ketika mengemas pita-pita video dalam koleksi aku, aku terpandang tiga buah pita video milik sahabat ini yang masih aku belum pulangkan walaupun telah aku edit dan convertkan ke format DVD. Terdetik dalam hati yang agak lama sahabat ini tidak mengutus SMS dan cadangnya aku ingin menghantar SMS untuk bertanya khabar. Namun kerana hambatan kerja, aku terlupa untuk menghantar SMS kepada sahabat ini.


Dan semalam, ketika berada di Kuala Lumpur, aku menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat di Tanjung Malim menyatakan bahawa sahabat aku ini telah kembali ke Rahmatullah dua hari lepas (23 April 2009). Aku menerima berita ini dengan perasaan sedih dan pilu. Rupa-rupanya dihari aku terpandang pita video milik sahabat ini dan berkira-kira untuk menghantar SMS kepadanya, sahabat ini telah dijemput kembali ke alam Baqa. Ketika berada di dalam bas semalam untuk pulang ke Kota Bharu dan mengenang kembali segala kenangan dengan seorang sahabat istimewa ini aku tidak mampu untuk membendung air mata daripada menitis. Tanpa pernah bersua muka, berbicara, dan ketawa mesra, aku kehilangan seorang sahabat istimewa yang jujur dalam persahabatan. Dan pagi ini apabila membuka laman web multiplynya, baru aku sedar yang entri terakhir allahyarham dalam webnya adalah lirik lagu Rabbani - Pergi Tak Kembali, dan ini menambahkan lagi rasa pilu dihati.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Janatul Adnin. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman....
* Sesiapa yang ada hantar komen kat blog ni berkaitan VCD apa ntah, tolong hubungi aku kembali sebab aku tak sempat baca komen tu & terpadam.

1 comment:

warikh said...

agaknya bila Dia akan menjemput ko pulak?