14 August, 2008

Catatan Bulan Merdeka

Seawal bulan ini sehinggalah kelmarin, aku sebenarnya sibuk! Bermacam-macam program yang harus dilaksana dan dibereskan dan semuanya menuntut kudrat dan pemikiran yang lebih sehingga tidak terdaya menulis sesuatu dilaman maya ini. Sebenarnya semenjak bulan Julai lagi jadual agak padat dan apabila masuk sahaja di bulan merdeka ini banyak aktiviti perlu diselesaikan. Ini kerana menjelang bulan hadapan kita semua akan berpuasa. Dan biasanya orang kita bila tiba sahaja bulan puasa, kalau boleh tak mahu buat apa-apa. Alasannya letih dan nak lebih beribadat sehingga kerja yang diamanahkan pun tergendala seketika. Bukankah kerja itu juga satu ibadat? Kalau betul ikhlas dan jujur, rasanya pahala yang berganda juga dapat diperolehi....Insya Allah.
Sepanjang separuh bulan ini juga macam-macam isu yang timbul sehingga kita lupa dengan bulan Merdeka pada kali ini. Belum ada lagi kedengaran kempen kibarkan bendera, dan belum juga aku menonton iklan-iklan tentang sambutan kemerdekaan. Yang panas sekarang adalah kempen di Permatang Pauh. Aku harap masyarakat kita tidak terlalu ghairah berkempen sehingga lupa dengan tibanya detik 31 Ogos dan disusuli dengan kedatangan 1 Ramadhan. Kempen di Permatang Pauh sehinggalah sorakan di Beijing, mungkin membuatkan masyarakat kita kurang ghairah untuk menyambut bulan merdeka. Dalam keghairahan dengan dua situasi itu, aku harap kita semua tak lupa batas-batas dan tanggungjawab kita sebagai seorang insan dan rakyat Malaysia. Jangan jadi macam Majlis Peguam yang tak reti bahasa! Sepatutnya Bar Council itu ditukar menjadi Bad Council. Cuma mungkin ada hikmahnya juga apa yang berlaku baru-baru ini kerana rata-rata orang Melayu tanpa batasan bendera politik masing-masing telah bangun untuk menentang forum tersebut. Tak tahulah kalau-kalau ada yang sengaja menggunakan situasi itu untuk faedah politik, harap-harap mereka yang berdemonstrasi tempoh hari benar-benar ikhlas membela agama Islam dan orang-orang Melayu.
Esok aku akan pulang ke kampung (Parit Buntar). Kebetulan juga pada 16hb ini sempena hari penamaan calon Permatang Pauh, aku akan berada di Pulau Pinang atas tugasan rasmi. Mungkin akan menjenguk seketika di sana sekiranya keadaan mengizinkan. Bukan untuk tolong berkempen atau apa-apa tetapi untuk melihat situasi apa yang berlaku pada hari tersebut. Mudah-mudahan tiada insiden buruk yang akan terjadi nanti. Sebut pasal kampung, dah terbau aroma char kueh teow dengan nasi kandar ....he..he..nanti boleh la belasah puas-puas!

31 July, 2008

AL-FATIHAH BUAT SASTERAWAN NEGARA S. OTHMAN KELANTAN

Awal pagi tadi ketika senang diulit mimpi aku menerima sms daripada pengarah memaklumkan mengenai pemergian Sasterawan Negara S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman Syed Omar. Sebelum ini aku sedia maklum yang Allahyarham telah dimasukkan ke hospital kerana beberapa komplikasi berkaitan jantung dan kencing manis. Tidak sangka pula terlalu cepat Allahyarham pergi meninggalkan kita dan khususnya dunia persuratan di Malaysia ini. Walaupun tidak selalu dapat bertemu dengan Allahyarham, tetapi sesekali apabila Allahyarham hadir dalam majlis atau aktiviti yang kami anjurkan sempat juga beramah-mesra dengannya. Mengenali beliau secara peribadi, Allahyarham seorang yang gemar bergurau dan berjenaka. Seringkali dalam ucapan dan syarahan yang disampaikannya, kita tak akan kering gusi dengan gurauan dan usikan melalui kata-katanya. Namun kadang-kala banyak maksud tersirat daripada gurauan dan usikan tersebut yang tidak dinyatakan secara langsung. Kini, arena kesusasteraan Melayu di Malaysia hilang sebutir lagi permata berharga yang banyak menyumbang kepada pembinaan persuratan dan tamadun Melayu. Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga Alahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah......
Sedikit Latar Tentang Allahyarham
S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.
Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).
S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.
Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.
Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.
Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.
Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). -

09 July, 2008

ANTARA DUA DARJAT


Kalau catatan aku sebelum ini menggunakan perkataan 'Antara' di awalnya, kali ini aku masih mahu menggunakan perkataan ini sekali lagi. Cuma tajuknya kali ini Antara Dua Darjat. Ceritanya begini.....Hari Sabtu lepas aku berpeluang mengikuti satu seminar berkaitan dunia perpustakaan yang dibuat di Kuala Terengganu. Semasa sedang duduk menunggu ketibaan tetamu kehormat, aku disapa oleh seorang kawan lama (perempuan) yang sama-sama menuntut di universiti dahulu. Perbualan awal hanya berkisar tentang perkembangan terkini dan keluarga masing-masing. Sebenarnya semasa belajar dahulu aku memang tidak rapat sangat dengan dia kerana beberapa faktor, antaranya kerana dia seorang yang rajin, alim dan baik. Manakala aku pula dalam kategori kurang rajin, kurang alim dan kurang baik...he...he...Lagipun aku memang agak kurang rapat sangat dengan pelajar-pelajar wanita, makanya perhubungan kami masa di universiti dulu hanya setakat kalau ada benda penting barulah bercakap.


Berbalik pada kawan aku tadi, dalam rancak berbual tiba-tiba dia menyatakan rasa kesal dengan beberapa peristiwa yang telah berlaku pada dia. Sebenarnya, kawan aku ini buat masa sekarang memegang jawatan penolong pegawai di sebuah perpustakaan cawangan. Walaupun mempunyai ijazah, tetapi oleh kerana masih tiada rezeki maka dia masih kekal dengan jawatan tersebut. Dalam ceritanya kepada aku, dia merasa sangat sedih dan kesal kerana dipandang rendah dan dihina oleh rakan-rakan yang sama-sama belajar di universiti suatu ketika dahulu. Kebanyakan mereka ini berkhidmat sebagai pegawai di salah sebuah perpustakaan terulung negara. Hanya kerana perbezaan status pegawai dan penolong pegawai maka apabila mereka berjumpa dengannya ada yang melarikan diri, ada yang menunjukkan rasa kurang senang dan ada juga yang sanggup menghina. Aku tak pasti sama ada benar atau tidak ceritanya ini, dan sama ada kawan-kawan yang lain itu sekadar bergurau. Tetapi dari gaya penyampaian ceritanya, aku yakin ianya benar. Lagi pun tiada faedahnya dia nak menipu kerana aku bukanlah orang yang ada kuasa yang boleh merubah segala-galanya.
Bila mendengar cerita tersebut, macam-macam perasaan yang timbul. Marah pun ada, nak tergelak pun ada. Rupa-rupanya masih ada lagi manusia yang terlalu bangga dengan status dalam zaman milenium ni. Hello....kakak-kakak dan abang-abang, ini bukan zaman macam filem Antara Dua Darjat sehingga Ghazali dihina oleh keluarga Tengku Zaleha. Ini juga bukan lagi zaman Ibu Mertuaku yang perlu memilih kedudukan dan harta. Kalau pun anda semua terlalu bangga dengan jawatan pegawai yang disandang tetapi janganlah terlalu riak atau bongkak. Tak salah untuk berbangga dengan kedudukan anda setelah berhempas-pulas belajar dahulu tetapi janganlah sampai tak kenal kawan dan rakan. Kalau pun anda tak suka dengan kawan kita yang seorang ni, tak perlulah menunjukkan sikap yang kurang adab sehingga boleh menjatuhkan aib beliau. Mungkin perbezaan status itu masih boleh diguna pakai semasa menjalankan tugas rasmi tetapi sekiranya luar dari tugas rasmi seharusnya kita perlu menghormati kawan.
Sebenarnya gejala Antara Dua Darjat ini bukan pertama kali aku dengar, banyak juga cerita-cerita dari dari jabatan lain yang pernah singgah di cuping telinga. Percaya atau tidak ada pegawai yang tidak membenarkan staf lain yang tidak ada diploma dan ijazah untuk makan sekali satu meja dengannya. Agak lucu sebenarnya memikirkan golongan-golongan sebegini yang terlalu riak dengan ijazah dan pangkat mereka sehingga harus mengenepikan silaturahim sesama insan. Itu baru menjadi pegawai, tak tahu la apa nak jadi sekiranya menjawat jawatan yang lebih besar dan tinggi. Dan aku juga bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku mungkin tidak tergolong dalam golongan ini. Bukan niat meninggi diri, tetapi aku tidak pernah meletakkan batas pangkat dan jawatan aku yang tidak seberapa ini untuk bergaul dengan rakan-rakan lain yang rendah jawatannya. Bagi aku jawatan itu hanya amanah sementara yang diberi kepada kita untuk dilaksanakannya, dari segi perhubungan dan silaturahim seharusnya tidak ada batasan di situ. Seharusnya keikhlasan dan kejujuran mengatasi segala-galanya. Sejak dari kecil hingga sekarang aku jarang ada masalah dengan kawan-kawan, sehinggakan aku seringkali di perli isteri kerana lebihkan kawan daripada saudara-mara. Dan aku sebenarnya mengakui hakikat itu walaupun sebenarnya aku cuba bersikap adil dalam perhubungan kedua-duanya. Cuma apa yang aku harap kita dapat berfikir sejenak dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita, dan janganlah terlalu sombong dan riak sehingga harus menafikan ikatan persahabatan yang telah lama dibina. Mungkin hari ini kita berada di atas dan tidak semestinya kekal, mungkin suatu hari nanti kita berada dibawah dan harus mendongak pula untuk meminta belas kasihan dari yang di atas. Wallahualam....

08 July, 2008

ANTARA PERSEPSI, TEORI DAN KONSPIRASI

Dalam keadaan kegawatan politik di negara kita pada hari ini, tiga perkataan ini sering diungkapkan dan disebutkan selain daripada satu lagi perkataan yang tak boleh dinyatakan di sini. Sebenarnya aku bukan hendak mencatat tentang politik, walaupun aku sememangnya mengambil berat dengan kisah-kisah politik. Dalam situasi politik semasa negara, aku bersikap terbuka dan mampu membaca, mendengar dan meneliti kenyataan, hujah dan berita daripada mana-mana pihak sekalipun. Bagi aku lebih baik kita meneliti dan membuat analisa tentang sesuatu perkara terlebih dahulu daripada percaya dan taksub membabi-buta. Oleh kerana aku tidak mahu berhujah panjang tentang politik, di bawah ini aku perturunkan maksud tiga perkataan popular pada masa kini menurut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat...
  1. PERSEPSI :(persépsi) gambaran atau bayangan dlm hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera), tanggapan: kekuatan imaginasi, kepekaan dan ~nya terhadap alam dan kehidupan memberikan gaya dan pengucapan yg khusus pd karya-karyanya;
  2. TEORI : téori) 1. pendapat (bersifat pandangan yg tidak dapat dibuktikan dgn kukuhnya) yg dikemukakan utk menerangkan sesuatu perkara dll: banyak ~ dikemukakan mengenai kehidupan pd masa prasejarah; 2. prinsip-prinsip am atau asas-asas kasar yg menjadi dasar pembentukan (perkembangan) sesuatu pengetahuan: ~ ekonomi; 3. asas, dasar (bukan amalan atau apa yg biasanya berlaku): pd ~nya raja yg memerintah negeri itu, tetapi sebenarnya baginda menurut nasihat jemaah penasihatnya; ~ atom (Fiz) teori yg menganggap bahawa semua jirim terbina drpd atom; ~ domino teori sains politik yg beranggapan bahawa kejatuhan salah satu negara di Asia Tenggara ke tangan komunis akan menyebabkan kemungkinan semua negara Asia Tenggara akan diambil alih oleh pihak komunis; ~ ion (Kim) teori yg menyatakan bahawa sesuatu bahan yg larutannya mengalirkan arus elektrik akan mengalami penceraian elektrolisis;
  3. KONSPIRASI : rancangan rahsia utk melakukan sesuatu yg menyalahi undang-undang (terutamanya yg berbau politik): negara kita Malaysia, juga tidak ketinggalan menerima bahang panas komplot ~ kuasa-kuasa besar tersebut;
    berkonspirasi : melakukan (menganjurkan, mengadakan dsb) konspirasi, berkomplot: ada tokoh-tokoh korporat yg dikatakan ~ utk menjatuhkan menteri berkenaan; kami tidak ~ utk menyekatnya drpd menjadi ahli parti

30 June, 2008

The Kampung Boy...

Hampir dua minggu tidak mencatat apa-apa di sini kerana terlalu sibuk dengan tugasan, walaupun setiap hari aku menjenguk sekadar untuk melihat kalau-kalau ada komen dan juga melihat jumlah kunjungan ke laman blog ini. Sebenarnya aku menguruskan satu majlis diskusi ilmu yang diberi nama Majlis Astaka Minda. Dan kali ini topik yang aku pilih sebenarnya amat dekat dengan diri aku iaitu Dunia Kartun : Antara Jenaka. Satira dan Budaya Membaca. Sememangnya aku membesar dan mula belajar membaca dengan medium kartun. Gila-Gila, Bujal, Bambino, Batu Api dan Gelihati antara majalah kartun yang sentiasa berada di rumah. Tidak ketinggalan juga naskhah Keluarga Si Mamat karya Lat. Kesempatan untuk menguruskan projek ini membuatkan aku tidak melepaskan peluang untuk mengundang tokoh kartunis negara iaitu Dato' Mohd. Nor Khalid atau lebih mesra dengan panggilan Lat untuk hadir dalam majlis ini, disamping Profesor Muliyadi Mahamood dan kartunis Rossem. Pada mulanya agak gusar untuk mengundang beliau datang ke Kota Bharu, tetapi pengalaman aku berhubung dan berurusan dengan Lat menambahkan lagi kekaguman aku dengan ikon kartun Malaysia ini. Ternyata Dato' Lat seorang yang merendah diri, suka berjenaka dan mudah untuk di dekati. Apabila berbual dengan beliau, Lat lebih senang bercerita tentang alam kanak-kanaknya semasa di kampung dan berbagai cerita lucu yang diluahkannya dan sebahagiannya itu telah dirakamkan dalam karya beliau The Kampung Boy. Banyak yang diceritakan oleh beliau dalam majlis yang berlangsung semalam, dan banyak juga yang sempat beliau bercerita selepas makan bersama-sama malam tadi. Semuanya tak mungkin aku dapat catatkan di sini. Cuma sebenarnya aku berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dan mengenali dengan lebih dekat seorang tokoh kartunis yang aku minati iaitu Dato Lat...

14 June, 2008

MINYAK NAIK @ NAIK MINYAK

Minyak naik lagi....masuk hari ini sudah lebih dua minggu rakyat di negara ini terpaksa membayar RM 2.70 untuk harga satu liter minyak. Kenaikan harga minyak dunia yang begitu tinggi membuatkan kerajaan tidak mampu lagi menanggung subsidi yang nilainya berpuluh billion ringgit. Dalam hal ini aku tidak mahu melihat isu ini dalam polemik politik negara yang semakin gawat sekarang ini kerana sebagai penjawat awam yang berstatus seperti aku ini, apa jua catatan di sini walaupun bermotif peribadi tentunya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada aku kembali sekiranya ada isu sensitif yang ditimbulkan. Justeru, aku seringkali akan mengelak dari menulis berkaitan isu politik dan biarkan polemik itu berakhir di warung kopi sahaja.
Kenaikan harga minyak merupakan satu isu dan masalah yang besar dan harus ditanggung oleh rakyat. Dalam situasi sekarang, kenaikan harga minyak akan turut membantu kenaikan barang-barang lain dan sudah pastinya keperitan ini dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat. Walau apa pun yang berlaku, sama ada kita menyokong, menentang atau turut sama berdemonstrasi, kehidupan tetap perlu di lalui dan dalam hal ini apa kata kita sama-sama fikirkan bagaimana masalah kenaikan harga minyak ini kita boleh tukarkan menjadi peluang kepada kita untuk berubah.
Peluang 1
Bagi mereka yang merokok atau golongan perokok tegar, inilah masanya mereka mengambil peluang untuk berhenti merokok. Dengan kenaikan harga minyak dan barang yang semakin menghimpit, seharusnya golongan ini dapat mengambil peluang ini untuk bertekad berhenti merokok. Dengan kadar harga sekotak rokok bersaiz besar yang melebihi RM 7.00 sekotak, seharusnya duit yang digunakan untuk membeli rokok selama sebulan boleh digunakan ke perbelanjaan lain yang lebih bermanfaat seperti membayar bil eletrik, bil air dan bil-bil lain dan secara tidak langsung mengurangkan beban bulanan yang di tanggung.
Peluang 2
Bagi mereka yang mengalami situasi berat badan yang berlebihan dan ingin mengurangkannya, rasanya inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama berjimat cermat dari segi pemakanan. Dalam hal ini, masyarakat di Malaysia sebenarnya tergolong dalam kategori yang mewah dengan makanan. Dalam situasi sekarang, seharusnya kita mengambil peluang untuk berjimat dan tidak membazir dengan makanan seharian. Kalau di Kelantan ini, biasanya pagi dihidangkan dengan nasi kerabu atau nasi berlauk, tengah hari pula dengan nasi ulam, nasi kukus dan pelbagai jenis nasi lagi. Begitu juga malam yang pastinya dihidangkan dengan nasi. Untuk itu, mulai hari ini untuk mengurangkan berat badan di samping mengurang kos perbelanjaan, pengawalan dari segi pemakanan perlu di lakukan. Kalau setiap kali makan kita tambah 2 pinggan, mungkin mulai hari ini kita tidak perlu tambah lagi ataupun sekurang-kurangnya sekali sahaja. Jadi dalam hal ini kita sudah dapat berjimat dan secara tidak langsung dapat menjaga tahap kesihatan kita yang seperti semua sedia maklum kebanyakan penyakit berpunca daripada pemakanan yang tidak terkawal.
Peluang 3
Bagi mereka yang menghadapi masalah isteri yang rajin bershopping dan pantang melihat tawaran potongan harga atau potong leher, seharusnya isu kenaikan harga minyak dan harga barang menjadi modal untuk anda berhujah dan menasihati isteri anda agar mengurangkan tabiat itu. Buat dan tunjukkan anggaran kenaikan kos harga minyak yang membebankan anda (kononnyalah) sehingga tiada ruang untuk para isteri ini merengek untuk mengajak anda ke pusat membeli-belah yang berhampiran. Di samping itu, bagi mereka yang menghadapi masalah isteri yang tidak rajin memasak tetapi rajin makan di luar pula, inilah masanya untuk anda meminta si isteri untuk mula menjenguk dapur. Kaitkan isu harga minyak dan kenaikan harga makanan untuk 'memaksa' isteri masing-masing untuk memasak setiap hari. Secara tidak langsung dalam hal ini selain dapat berjimat cermat, anda juga dapat melatih isteri anda untuk memasak dan dapat lebih mengeratkan hubungan melalui situasi semasa di dapur.
Peluang 4
Bagi mereka yang suka memandu laju pula, kenaikan harga minyak ini memberi peluang kepada anda untuk menghentikan tabiat itu. Menurut sumber, kenderaan yang di pandu di bawah kelajuan 100km sejam dapat lebih menjimatkan penggunaan petrol berbanding mereka yang memandu lebih daripada kadar tersebut. Aku sendiri telah mencuba cara ini dan hasilnya memang boleh dipercayai. Jadi, mulai hari ini marilah kita semua mengurangkan kadar kelajuan masing-masing dalam menjimatkan penggunaan petrol. Di samping dapat menjimatkan petrol, secara tidak langsung pemanduan secara berhemah ini akan lebih menjamin keselamatan diri dan keluarga yang kita sayangi.
Ini merupakan antara beberapa peluang yang boleh kita perolehi daripada masalah kenaikan harga minyak dan barang. Sebenarnya banyak lagi peluang yang boleh kita dapat sekiranya kita dapat berfikir dengan rasional dan kreatif. Jangan jadikan masalah kenaikan harga minyak sesuatu yang membebankan sehingga mengganggu emosi semasa bekerja dan semasa di rumah sehingga mengoncang keharmonian rumah tangga. Jadikan masalah ini sebagai satu peluang untuk kita berubah dan merancang perjalanan hidup yang lebih teratur. Insya-Allah sekiranya kita berusaha dengan tekun dan ikhlas, segala masalah ini dapat di atasi dan menjadi peluang kepada kita menjadi insan yang lebih tabah dan matang.