Hampir dua minggu tidak mencatat apa-apa di sini kerana terlalu sibuk dengan tugasan, walaupun setiap hari aku menjenguk sekadar untuk melihat kalau-kalau ada komen dan juga melihat jumlah kunjungan ke laman blog ini. Sebenarnya aku menguruskan satu majlis diskusi ilmu yang diberi nama Majlis Astaka Minda. Dan kali ini topik yang aku pilih sebenarnya amat dekat dengan diri aku iaitu Dunia Kartun : Antara Jenaka. Satira dan Budaya Membaca. Sememangnya aku membesar dan mula belajar membaca dengan medium kartun. Gila-Gila, Bujal, Bambino, Batu Api dan Gelihati antara majalah kartun yang sentiasa berada di rumah. Tidak ketinggalan juga naskhah Keluarga Si Mamat karya Lat. Kesempatan untuk menguruskan projek ini membuatkan aku tidak melepaskan peluang untuk mengundang tokoh kartunis negara iaitu Dato' Mohd. Nor Khalid atau lebih mesra dengan panggilan Lat untuk hadir dalam majlis ini, disamping Profesor Muliyadi Mahamood dan kartunis Rossem. Pada mulanya agak gusar untuk mengundang beliau datang ke Kota Bharu, tetapi pengalaman aku berhubung dan berurusan dengan Lat menambahkan lagi kekaguman aku dengan ikon kartun Malaysia ini. Ternyata Dato' Lat seorang yang merendah diri, suka berjenaka dan mudah untuk di dekati. Apabila berbual dengan beliau, Lat lebih senang bercerita tentang alam kanak-kanaknya semasa di kampung dan berbagai cerita lucu yang diluahkannya dan sebahagiannya itu telah dirakamkan dalam karya beliau The Kampung Boy. Banyak yang diceritakan oleh beliau dalam majlis yang berlangsung semalam, dan banyak juga yang sempat beliau bercerita selepas makan bersama-sama malam tadi. Semuanya tak mungkin aku dapat catatkan di sini. Cuma sebenarnya aku berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dan mengenali dengan lebih dekat seorang tokoh kartunis yang aku minati iaitu Dato Lat...
No comments:
Post a Comment