14 June, 2008

MINYAK NAIK @ NAIK MINYAK

Minyak naik lagi....masuk hari ini sudah lebih dua minggu rakyat di negara ini terpaksa membayar RM 2.70 untuk harga satu liter minyak. Kenaikan harga minyak dunia yang begitu tinggi membuatkan kerajaan tidak mampu lagi menanggung subsidi yang nilainya berpuluh billion ringgit. Dalam hal ini aku tidak mahu melihat isu ini dalam polemik politik negara yang semakin gawat sekarang ini kerana sebagai penjawat awam yang berstatus seperti aku ini, apa jua catatan di sini walaupun bermotif peribadi tentunya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada aku kembali sekiranya ada isu sensitif yang ditimbulkan. Justeru, aku seringkali akan mengelak dari menulis berkaitan isu politik dan biarkan polemik itu berakhir di warung kopi sahaja.
Kenaikan harga minyak merupakan satu isu dan masalah yang besar dan harus ditanggung oleh rakyat. Dalam situasi sekarang, kenaikan harga minyak akan turut membantu kenaikan barang-barang lain dan sudah pastinya keperitan ini dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat. Walau apa pun yang berlaku, sama ada kita menyokong, menentang atau turut sama berdemonstrasi, kehidupan tetap perlu di lalui dan dalam hal ini apa kata kita sama-sama fikirkan bagaimana masalah kenaikan harga minyak ini kita boleh tukarkan menjadi peluang kepada kita untuk berubah.
Peluang 1
Bagi mereka yang merokok atau golongan perokok tegar, inilah masanya mereka mengambil peluang untuk berhenti merokok. Dengan kenaikan harga minyak dan barang yang semakin menghimpit, seharusnya golongan ini dapat mengambil peluang ini untuk bertekad berhenti merokok. Dengan kadar harga sekotak rokok bersaiz besar yang melebihi RM 7.00 sekotak, seharusnya duit yang digunakan untuk membeli rokok selama sebulan boleh digunakan ke perbelanjaan lain yang lebih bermanfaat seperti membayar bil eletrik, bil air dan bil-bil lain dan secara tidak langsung mengurangkan beban bulanan yang di tanggung.
Peluang 2
Bagi mereka yang mengalami situasi berat badan yang berlebihan dan ingin mengurangkannya, rasanya inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama berjimat cermat dari segi pemakanan. Dalam hal ini, masyarakat di Malaysia sebenarnya tergolong dalam kategori yang mewah dengan makanan. Dalam situasi sekarang, seharusnya kita mengambil peluang untuk berjimat dan tidak membazir dengan makanan seharian. Kalau di Kelantan ini, biasanya pagi dihidangkan dengan nasi kerabu atau nasi berlauk, tengah hari pula dengan nasi ulam, nasi kukus dan pelbagai jenis nasi lagi. Begitu juga malam yang pastinya dihidangkan dengan nasi. Untuk itu, mulai hari ini untuk mengurangkan berat badan di samping mengurang kos perbelanjaan, pengawalan dari segi pemakanan perlu di lakukan. Kalau setiap kali makan kita tambah 2 pinggan, mungkin mulai hari ini kita tidak perlu tambah lagi ataupun sekurang-kurangnya sekali sahaja. Jadi dalam hal ini kita sudah dapat berjimat dan secara tidak langsung dapat menjaga tahap kesihatan kita yang seperti semua sedia maklum kebanyakan penyakit berpunca daripada pemakanan yang tidak terkawal.
Peluang 3
Bagi mereka yang menghadapi masalah isteri yang rajin bershopping dan pantang melihat tawaran potongan harga atau potong leher, seharusnya isu kenaikan harga minyak dan harga barang menjadi modal untuk anda berhujah dan menasihati isteri anda agar mengurangkan tabiat itu. Buat dan tunjukkan anggaran kenaikan kos harga minyak yang membebankan anda (kononnyalah) sehingga tiada ruang untuk para isteri ini merengek untuk mengajak anda ke pusat membeli-belah yang berhampiran. Di samping itu, bagi mereka yang menghadapi masalah isteri yang tidak rajin memasak tetapi rajin makan di luar pula, inilah masanya untuk anda meminta si isteri untuk mula menjenguk dapur. Kaitkan isu harga minyak dan kenaikan harga makanan untuk 'memaksa' isteri masing-masing untuk memasak setiap hari. Secara tidak langsung dalam hal ini selain dapat berjimat cermat, anda juga dapat melatih isteri anda untuk memasak dan dapat lebih mengeratkan hubungan melalui situasi semasa di dapur.
Peluang 4
Bagi mereka yang suka memandu laju pula, kenaikan harga minyak ini memberi peluang kepada anda untuk menghentikan tabiat itu. Menurut sumber, kenderaan yang di pandu di bawah kelajuan 100km sejam dapat lebih menjimatkan penggunaan petrol berbanding mereka yang memandu lebih daripada kadar tersebut. Aku sendiri telah mencuba cara ini dan hasilnya memang boleh dipercayai. Jadi, mulai hari ini marilah kita semua mengurangkan kadar kelajuan masing-masing dalam menjimatkan penggunaan petrol. Di samping dapat menjimatkan petrol, secara tidak langsung pemanduan secara berhemah ini akan lebih menjamin keselamatan diri dan keluarga yang kita sayangi.
Ini merupakan antara beberapa peluang yang boleh kita perolehi daripada masalah kenaikan harga minyak dan barang. Sebenarnya banyak lagi peluang yang boleh kita dapat sekiranya kita dapat berfikir dengan rasional dan kreatif. Jangan jadikan masalah kenaikan harga minyak sesuatu yang membebankan sehingga mengganggu emosi semasa bekerja dan semasa di rumah sehingga mengoncang keharmonian rumah tangga. Jadikan masalah ini sebagai satu peluang untuk kita berubah dan merancang perjalanan hidup yang lebih teratur. Insya-Allah sekiranya kita berusaha dengan tekun dan ikhlas, segala masalah ini dapat di atasi dan menjadi peluang kepada kita menjadi insan yang lebih tabah dan matang.

No comments: